/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Thursday 2 October 2014

‘Kampung Tinggal’ Yang Seram Tapi Cantik Di Ipoh

Untuk artikel kali ini, kami ingin berkongsi satu lokasi menarik yang boleh kamu masukkan dalam senarai lokasi penggambaran, mungkin untuk latar belakang #OOTD, mungkin penggambaran pra-perkahwinan, untuk filem pendek Youtube atau apa saja.
Kampung Kepayang, sebuah bandar tinggal yang terletak di Ipoh, Perak. Ia telah dibuka sejak awal kurun ke 17 oleh Tok Changkat Rembia. 
Walaupun ia sebuah bandar tinggal, namun struktur bangunan lamanya sangat unik. Masih terdapat beberapa kedai seperti kedai gunting rambut dan sebuah masjid iaitu Masjid Ahmadiahberoperasi di bandar ini, tapi selain daripada itu, ia memang sebuah bandar yang telah mati.


Masjid Ahmadiah. Sumber gambar: Google Images

Keadaan dalam Masjid Ahmadiah, Kampung Kepayang.
Kampung ini telah dibuka pada tahun 1800an oleh Toh Sedewa Domba dan merupakan pekan tertua di Kinta.
Beliau telah bertanggungjawab membangunkan perlombongan bijih timah di situ.Bijih timah yang dilombong di sini akan dibawa melalui Sungai Raia ke Batu Gajah ketika itu.
Kekayaan yang diperolehi oleh Toh Sedewa Domba telah membolehkan beliau membina kediaman besarnya di pinggir Kampung Kepayang.Beliau turut membina sebuah pekan yang lengkap dengan kedai,pasar dan masjid di Kampung Kepayang yang mana masih ada sehingga sekarang. 
Rumah tinggalan Tok Sedewa
Disebabkan jalan besar menjadi sibuk, akibatnya sepanjang jalan raya kekurangan tempat letak kereta, oleh itu kedai-kedai di sepanjang jalan terjejas perniagaannya, dan terpaksa gulung tikar. 
Walaupun Kampung Kepayang telah menjadi sebuah pekan hantu, namun alamat-alamat bagi kawasan itu yang berposkod 31300, termasuk Simpang Pulai, masih bertulis “Kampung Kepayang” sebagai nama pekan atau bandar. 
Ini adalah kerana mel yang dihantar ke kawasan ini adalah ditangani oleh Pejabat Pos Kampung Kepayang yang kini telah berpindah ke Simpang Pulai. 
Kini terdapat sebuah kawasan perumahan yang baru di seberang Sungai Kepayang, bernama Taman Seri Raya. 

Jika kamu berminat hendak melawat sendiri bandar tinggal ini, ia terletak berhampiran stadium dan melepasi tol Simpang Pulai. Tapi awas, kalau terjumpa sebarang keangkeran

– sumber: Wikipedia.– sumber:Perak Historical Crew
no image
  • Title : ‘Kampung Tinggal’ Yang Seram Tapi Cantik Di Ipoh
  • Posted by :
  • Date : 20:08
  • Labels :
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

4 comments:

  1. SEJARAH KAMPUNG KEPAYANG (FAIR PARK, IPOH) ~ KAMPUNG BERSEJARAH
    (KEPAYANG THE HISTORICAL VILLAGE)

    Pada penghujung tahun 1520an, Tun Kelalang yang merupakan anak kepada Pemerintah Hulu Perak, Tun Saban bin Tun Perak telah menyusur ke hilir Sungai Perak dan memasuki salahsebuah cabang sungainya iaitu Sungai Kinta lalu membuka sebuah penempatan yang dinamakan Kampung Kepayang yang terletak di dalam Daerah Kinta.

    Sultan Perak ke II iaitu Sultan Mansur Shah telah memperisterikan seorang anak Ketua Orang Asli di Kuala Kinta dan dikurniakan anak yang bernama Datuk Changkat Piatu yang juga dikenali sebagai Kulop Kinta. Datuk Changkat Piatu berkahwin dengan Orang Asli suku Temiar bernama Puteri Mazwin. Mereka dikurniakan anak yang bernama Toh Chandang yang diberi gelaran Maharaja Kinta oleh Sultan Perak ke X (Sultan Muzaffar Shah II).

    Perkahwinan antara keturunan Tun Kelalang dengan keturunan Maharaja Kinta Toh Chandang membenihkan keturunan Panglima Kinta yang mewarisi jawatan Panglima Kinta Bangsa DiRaja dan Toh Senongsa Seri Narawangsa. Panglima Kinta Bangsa Di Raja mewakili Sultan Perak untuk memerintah Daerah Kinta dan dibantu oleh Toh Senongsa Seri Narawangsa yang bertugas mentadbir Kampung Kepayang yang terletak di dalam Daerah Kinta.

    Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta. Ianya berterusan sehinggalah campurtangan British dalam pemerintahan Negeri Perak. Penglibatan Datuk Panglima Kinta ke VII, Toh Ngah Abdul Jaafar yang juga dikenali sebagai Toh Gemuk Jabar dan adiknya Toh Senongsa Seri Narawangsa, Itam Dewi dalam pembunuhan Residen British, JWW Birch ketika Perang Perak 1874 menyebabkan status Kampung Kepayang sebagai Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta seolah-olah ditarikbalik oleh British yang memerintah Negeri Perak selepas berakhirnya Perang Perak 1874.

    Toh Ngah Abdul Jaafar yang juga merupakan Datuk Panglima Kinta Pasak Kepayang yang terakhir telah dipenjarakan di Singapura dan dibebaskan secara senyap oleh Sultan Perak ke XXVIII, Sultan Idris Shah manakala Toh Senongsa Seri Narawangsa, Itam Dewi menerima hukuman buang negeri ke Johor bersama Sultan Perak ke XXV, Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah. Selain itu, jawatan Toh Senongsa Seri Narawangsa dimansuhkan dalam struktur pemerintahan Kesultanan Negeri Perak.

    ReplyDelete
  2. PERANG PERAK 1875: JWW BIRCH, PANGLIMA KINTA NGAH ABDUL JAAFAR (NGAH JABAR) DAN KAMPUNG KEPAYANG (FAIR PARK, IPOH)

    Pada 20 Julai 1875, Residen British di Perak, JWW Birch telah memaksa Sultan Abdullah menandatangani perjanjian penyerahan kutipan cukai dengan ugutan bahawa jika baginda enggan, British tidak lagi mengiktiraf baginda sebagai Sultan Perak. Sultan Abdullah menjadi marah dan berkeras enggan tunduk pada tuntutan tersebut.

    Akhirnya JWW Birch dan British memutuskan untuk melaksanakan pengambilalihan kutipan cukai dan memansuhkan pengiktirafan Sultan Abdullah. Inilah yang mencetuskan pembunuhan JWW Birch pada 2 November 1875 yang mendapat sokongan orang Melayu Perak termasuk pembesar jajahan Larut, Menteri Ngah Ibrahim, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar, Laksamana Muhammad Amin dan Syahbandar Uda Makmor.

    Akibat pembunuhan ini, British menyerang Perak dan tercetusnya ‘Perang Perak’ bermula 2 November 1875. British mengambil langkah drastik dengan mengerah bala tenteranya menawan Perak dengan bantuan orang-orang Mendailing yang lari ke Perak setelah terbabit dalam peperangan di Pahang dan Klang. Pasir Salak ditawan pada 15 November 1875. Dalam pertempuran itu, British membakar rumah sepanjang sungai di Kampung Gajah dan Pasir Salak.

    Oleh kerana Sultan Ismail memberi perlindungan kepada Maharaja Lela Pandak Lam yang merupakan pembesar Pasir Salak, kedudukan Sultan Ismail juga diserang. British dengan bantuan orang-orang Mendailing seperti Raja Uteh, Raja Asal dan Raja Mahmud menyerang kedudukan Sultan Ismail di Papan dengan menggunakan roket pelancar bom. Tetapi Sultan Ismail terlebih dahulu berjaya melarikan diri ke Kampung Kepayang bersama Maharaja Lela Pandak Lam dan pengikut-pengikutnya.

    Menurut sumber lisan, Sultan Ismail membawa bersamanya alat-alat kebesaran pertabalan kesultanan Perak dan 20 ekor gajah. Baginda meminta bantuan penduduk Kampung Kepayang untuk berlindung dan turut serta menentang tentera British dan Mendailing. Kampung Kepayang ketika itu dibawah naungan Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar dan diketuai oleh Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi, menjadi lokasi persembunyian sementara bagi Sultan Ismail dan pengikut-pengikutnya.

    Setelah mendapati lokasi Kampung Kepayang tidak selamat daripada buruan tentera British dan Mendailing. Sultan Ismail bersumpah dengan memacak pedangnya ke tanah bahawa baginda akan kembali memerintah negeri Perak satu hari nanti. Kemudian baginda bersama pengikut pengikutnya meredah hutan belantara ke Chemor. Mereka melintasi laluan Jalong, Ulu Piah, terus ke Krunei, dan memasuki Kedah. Sultan Ismail telah dijerat oleh Siam di Pattani atas bantuan William Maxwell.

    ReplyDelete
  3. Pada 3 hingga 4 Mac 1875, Seputum, Cik Gondah dan Ngah Ahmad telah dibicarakan bertempat di Bandar Bharu. Seputum menyatakan bahawa Cik Gondah memukul JWW Birch dengan pedang tetapi Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar yang memulakan pembunuhan dengan meradak lembing ke tubuh JWW Birch. Menurut Cik Gondah, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar yang bertanggungjawab mendapatkan bantuan dan ubat bedil daripada Sultan Ismail. Akhirnya mereka didapati bersalah oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) diapit oleh J.G. Davidson dan Frank Swettenham.

    Pada 14 hingga 22 Disember 1876, Maharaja Lela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar, Pandak Indut, Kulup Ali dan Si Tuah dibicarakan. Kesemuanya dihukum gantung sampai mati kecuali Panglima Kinta Toh Ngah Abdul Jaafar, Kulup Ali dan Si Tuah hukumannya dipenjarakan di Singapura. Sultan Abdullah, Menteri Ngah Ibrahim, Laksamana Wan Muhammad dan Syahbandar Uda Mahamor dibuang ke Pulau Sychelles sementara Sultan Ismail, Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi dan Panglima Perang Semaun dibuang ke Skudai, Johor.

    Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar telah dibebaskan secara rahsia oleh Hakim Raja Idris (Sultan Idris) setelah enam tahun dipenjara di Singapura. Beliau kembali ke Kampung Kepayang dan menukarkan nama kepada Toh Gemuk bagi mengelakkan dikesan oleh British. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di Kampung Kepayang dan dikebumikan bersebelahan Masjid (Warisan) Kampung Kepayang.

    Kesan penglibatan beliau dalam pembunuhan JWW Birch menyebabkan beliau dan keturunannya yang dikenali sebagai keturunan (Kampung Kepayang) Panglima Kinta Pasak Kepayang disenaraihitamkan oleh British dan tidak lagi dibenarkan untuk memegang jawatan Panglima Kinta, dimana secara lazimnya jawatan Panglima Kinta dipegang secara bergilir antara keturunan (Kampung Paloh) Panglima Kinta Pasak Paloh dan keturunan (Kampung Kepayang) Panglima Kinta Pasak Kepayang.

    Selepas Perang Perak 1875, tiada lagi berlakunya penggiliran jawatan dan jawatan Panglima Kinta kekal dipegang oleh keturunan (Kampung Paloh) Panglima Kinta Pasak Paloh manakala jawatan Toh Senongsa Seri Narawangsa dimansuhkan dalam struktur monarki Kesultanan Negeri Perak.
    Penglibatan kedua-dua pembesar utama yang berasal daripada Kampung Kepayang iaitu Orang Besar Lapan, Panglima Kinta Ngah Abdul Jaafar dan Orang Besar Enam Belas, Toh Senongsa Seri Narawangsa Itam Dewi dalam pembunuhan JWW Birch, memberikan kesan yang amat besar terhadap Kampung Kepayang.

    British ketika itu memerintah Negeri Perak seolah-olah cuba melenyapkan Kampung Kepayang daripada Sejarah Daerah Kinta sebagai tindakbalas terhadap peristiwa pembunuhan tersebut. Dahulunya Kampung Kepayang merupakan Pusat Pemerintahan bagi Daerah Kinta dan dipercayai dibuka pada tahun 1520an oleh Tun Kelalang bin Tun Saban, kini hanya menjadi sebuah perkampungan kecil yang terpinggir dan disisihkan daripada arus pembangunan Daerah Kinta.

    Sumber rujukan utama:

    "Salasilah Keturunan Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (Pasak Paloh - Pasak Kepayang)", susunan Fazil Shuhaimi Talib.
    "Dokumentari Panglima Kinta Pasak Kepayang yang Terakhir: Ngah Abdul Jaafar", arahan Faizal Zainol
    "Dokumentari Tanah Secupak: Kampung Kepayang", terbitan ContinuallyBebas.
    "Cempaka Sari - Sejarah Kesultanan Negeri Perak", tulisan Kolonel Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Basri.
    "Papers on Malay Subjects", tulisan R.J. Wilkinson.

    ReplyDelete
  4. artikel di atas, bertajuk "‘Kampung Tinggal’ Yang Seram Tapi Cantik Di Ipoh", didapati berlaku kesilapan fakta dan peta...

    1) peta di atas merujuk kepada Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh - dihadapan Stadium Ipoh. Kampung ini merupakan tempat bersemadinya Toh Changkat Rembia (Datuk Panglima Kinta ke 3). Ia terletak ditengah Bandar Raya Ipoh.

    2) manakala gambar-gambar bangunan lama (usang) di atas pula, terletak di Kampung Kepayang, Sungai Raia, - terletak di Simpang Pulai, Ipoh...

    Kedua-dua Kampung Kepayang adalah berbeza, satu terletak tengah di Bandaraya Ipoh, satu lagi terletak berhampiran Simpang Pulai, Ipoh. Walaubagaimanapun Kedua-duanya memiliki sejarah yang tersendiri dan ada kaitan antara satu sama lain, berikutan kedua-duanya terletak dalam Daerah Kinta.

    --untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kampung Kepayang, Kampung Bersejarah (Fair Park), Ipoh.
    boleh layari : https://www.facebook.com/groups/panglimakintapasakkepayang
    atau : https://www.facebook.com/groups/kampungkepayang/

    ReplyDelete

Top