/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Tuesday, 26 August 2014

Mati Pun Kain Terbelah Sampai Paha,Syahidkah Mereka?

Mengapa mereka enggan berkabung

Tatkala 20 mangsa MH17 tiba di Kuala Lumpur 22 Ogos lepas, ruang pejabatku sedang dilanda lemang dan sambal paru, soto dan biskut raya.
 Beberapa orang masuk ke Perpustakaan Institut di aras yang sama dan menonton di televisyen istiadat penghormatan dan perkabungan untuk 20 orang anak-anak watan kita yang akhirnya tiba jua di tanah air.

Sebelum itu kedengaran entah siapa bersuara, “Apakah benar mereka mati syahid belaka? Mati pun kain terbelah sampai paha.”

Apabila detik 10:54 pagi tiba, aku melaung dengan suara separuh tertahan; “Tafakur”. Entah suaraku yang terkulum kerana kehibaan itu di dengar yang lain atau tidak, aku kurang pasti. Tetapi aku membacakan al-Fatihah untuk mereka. Aku menahan empangan air mata. Aku terkelu melihat Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menunduk hormat untuk tiap jenazah yang melepasi baginda. Itu jarang sekali berlaku.

Seorang yang lain, lebih senior bertanya dengan niat menebak dan menduga, “Adakah tafakur itu dalam budaya kita? Dalam agama kita Dr Faizal?”

Aku membalas, “Saya sendiri membaca al-Fatihah. Saya fikir ia penting.”

Seperti kalian aku juga dihiris kepiluan yang amat dalam tatkala mendengar dan mendapat khabar berita jatuhnya MH17. Jika MH370 menimbulkan teka-teki dan seribu persoalan, MH17 membawa kedukaan dan kemurungan yang luar biasa buat seluruh rakyat Malaysia. Malaysia menjadi mangsa krisis geopolitik.

Malaysia tergegar dan tergempa lagi oleh tragedi. Ia merupakan tahun yang amat malang buat kita semua. Gelora politik, gelora kaum, gelora agama, gelora demi gelora yang menggoncang perasaan.

Mungkin perasaan sedih kita tidak tersamakan dengan apa yang dialami dan dirasai oleh ahli keluarga. Mungkin tidak sama rasa yang kita rasai seperti yang ditanggung oleh keluarga Ahmad Hakimi Hanafi, anaknya Abderrahman yang comel berusia sembilan bulan itu sebaya dengan anak keduaku. Dan tiap kita membaca cerita setiap mangsa anak Malaysia itu, kita akan merasai sebak dan debur di dada. Kita berasa sayu melihat foto Muhriz Marzaidi menangisi jenazah ibunya, Allahyarham Mastura Mustafa. Aku membaca kisah anaknya bercerita bagaimana Mastura sempat memasakkan lauk kegemarannya untuk berbuka puasa; kari daging, sayur dan siakap tiga rasa sebelum berlepas ke Amsterdam untuk bertugas. Aku menitis air mata membaca bagaimana Mohd Ali Mohd Salim, bergurau senda dan tidak tidur semalaman dengan teman-temannya sebelum pulang. Malah Ali sempat bergunting rambut dan membeli cenderamata untuk ahli keluarganya kelak. Terdapat foto mainan yang bertaburan di padang bunga matahari Donetsk, Ukraine itu khabarnya milik Ali, khas untuk anak-anak buahnya.

Setiap seorang mangsa ada kisah sedih sendiri yang akan membuatkan kita bertanya mengapakah tragedi dan kejahatan seperti ini berlaku dan terjadi? Kita menangis kerana kita bertanya? Kita inginkan jawapan.

Mengapakah mereka enggan berkabung? Mengapakah ada fatwa melarang bertafakur pada tahun 1987, dan di Perlis fatwa melarang hal yang sama pada tahun 1974 itu? Apakah yang ditakuti dari tafakur dan perkabungan?

Sesungguhnya mereka yang enggan berkabung cuba menafikan bahagian paling penting dalam diri manusia. Bersedih dan menangisi mereka yang kita kasihi dan sayangi adalah satu fitrah. Ia adalah tuntutan normal manusiawi. Seorang insan dibekalkan dengan bahagian paling rapuh dalam dirinya iaitu kenangan. Justeru kenangan yang ada itu dapat mencair dan membekas, mengalir dalam pembuluh darah kita lantas menjadi keharuan yang luar biasa di saat kita teringat atau terhimbau kembali orang yang kita sayangi.

Fatwa, dan agamawan yang melarang bertafakur, proses mengingat dan menghormati kenangan adalah fatwa, dan agamawan yang hatinya mati dan tidak memberi apa-apa faedah kepada agama. Salah satu bahagian yang paling penting dalam agama, selain rasional dan penggunaan akal; adalah emosi dan kedukaan. Berkabung dan bertafakur sangat penting. Mengapakah mereka melarang kita dari berduka sedangkan Nabi Ya'qub menangisi Yusuf alaihissalam yang tidak pun mati, sehingga buta?

Allah tidak melarang Ya’qub menangis. Malah tangisan Ya’qub bukanlah tangisan sambil lewa. Ya’qub menghidupkan kenangannya dengan Yusuf melalui tangisan. Ya’qub menangis sebagai tanda protes kepada adik-beradik Yusuf yang jahat, yang telah menganiayai saudara kandung mereka. Ya’qub menangis sebagai satu bentuk proses untuk menuntut keadilan. Tangisan dan tafakur Ya’qub yang panjang itu adalah pengorbanan dan perjuangan.
Seperti Ya’qub, Malaysia harus malah mesti terus berkabung.

Tenaga kesedihan itu harus disalurkan untuk mencari keadilan. Di sinilah sisi emosi manusia yang diizin agama itu akan menjadi sisi rasio dan sisi perjuangan. Malaysia harus ke hadapan untuk menuntut kebenaran dari tragedi MH17 tersebut. Jelaslah, anak-anak watan kita di dalam pesawat malang itu adalah mangsa, orang teraniaya, insan tertindas dan kita berhak mengetahui apakah sebenarnya di sebalik kejadian penembakan tersebut.

Siapakah yang bertanggungjawab? Siapakah yang perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Yaq’ub menangis, bertafakur dan berkabung tiap hari bukan kerana Nabi Ya’qub lemah dan tua renta tidak dapat bangkit melawan ana-anak derhakanya. Tidak. Ya’qub menangis kerana itu adalah kekuatannya, tangisan Yaq’ub sangat menghantui adik beradiknya yang telah mengkhianati Yufuf. Tangisan Ya’qub menyebabkan adik beradik Yusuf yang jahat itu menggelupur kepanasan, tidak senang duduk, dan di hujungnya menimbulkan keinsafan. Tentu sahaja Ya’qub boleh menuntut daripada Allah supaya ditemukan segera antara dia dan Yusuf. Tentu sahaja bantuan daripada Bunyamin boleh diminta. Namun Ya’qub memilih untuk menangis. Kerana tangisan itu mengisi cepu kepala adik beradik Yusuf yang jahat. Terlalu penuh dalam benak mereka sehingga ia menjadikan mereka rimas, gentar, dan serba-salah.

Umat Islam yang menunaikan ibadah umrah dan haji di Makkah, meneguk air zam-zam. Kita mengangkut bertong zam-zam pulang ke tanah air. Dari manakah datangnya zam-zam kalau tidak dari tangisan Nabi Ismail yang dahaga dan bingung sedihnya Hajar kerana ditinggalkan Ibrahim? Tidakkah kita meneguk hikmah itu setelah beribu tahun lamanya?

Mengapakah kita harus menyerah diri kepada agamawan keras hati? Mengapakah kita membiarkan mereka menjadikan kita patung dan bukan manusia? Mengapakah kita perlu patuh kepada fatwa dan agamawan yang mengarut dan tidak manusiawi ini? Mengapakah kita perlu akur kepada mereka yang tidak memahami fitrah manusia ini? Kita bersama dengan seluruh nusa dan bangsa berkabung dalam menyatakan kesdihan? Tetapi mengapakah ada dalam kalangan ustaz yang dengan sengaja ingin menunjukkan egonya dengan berpakaian warna merah pada hari perkabungan?

Mengapakah di hari perkabungan ada dalam kalangan kita yang merasakan lebih mulia dan lebih berpahala mengkritik kebaya pramugari MH17? Apakah demikian keras hati kita dibentuk oleh ulama sehingga kita merasakan Allah tidak lagi Maha Pengasih dan Penyayang?

Kita, umat Islam di Malaysia telah memberi terlalu banyak kuasa kepada ustaz di masjid dan ulama majlis fatwa untuk menentukan hidup kita. Sehingga menangis dan bertafakur sendiri kita perlu ditentukan dan dikawal. Betapa tidak naturalnya pengamalan beragama di Malaysia. Betapa jijik dan jengkelnya pengamalan agama di sebuah negara yang umat Melayu Islamnya dinafikan sisi dan ciri etnisitinya.

Orang Melayu sesungguhnya adalah bangsa simbolik. Sebagai bangsa yang penuh simbol, kita menemukan orang Melayu Islam kaya dengan peribahasa, bidalan dan segala macam produk budaya yang lain. Terkadang kita mendapati orang Melayu mengatakan sesuatu tetapi tidak memaksudkannya. Kita mengajak orang minum bersama. Tetamu akan menolak dengan alasan ‘baru sahaja minum tadi’, tetapi itu cara yang sopan untuk ia tidak menyusahkan tuan rumah. Dan kita tetap menghidang air tangan supaya tetamu tidak pulang dahaga.

Kerana bangsa Melayu adalah bangsa penuh simbol, maka peradaban kita kaya dengan pantun dan syair, gerak tari dan lenggok bahasa; bangsa kita kaya dengan adab dan kesopanan, bangsa kita adalah bangsa yang berhemah di hadapan Kaabah. Tanyailah jemaah haji dari negara lain, bangsa Melayu dianggap bangsa yang halus, kerana Maha kaya Allah Pencipta bangsa Melayu supaya kita menjadi satu bangsa yang sangat penuh dengan perlambangan.

Berpakaian hitam, bersuram, bersedih, dan mengenang tragedi adalah satu bentuk simbol kekuatan bangsa. Dalam kenduri-kendara, tahlil arwah, orang Melayu akan menjamah hidangan penuh simbol; roti mayat, seraya bercerita tentang kebaikan arwah. Tetapi ia tidak harus habis di situ. Simbol yang bergulir itu mesti diberi cas dan tenaga sepertimana dilakukan oleh Ya’qub. Tenaga kesedihan itu harus diangkat menjadi protes dan kekuatan untuk melawan.

Tangisan 22 Ogos lalu dan hari-hari berikut adalah kenyataan politik. Kesedihan adalah satu penyataan yang menakutkan kuasa besar. Kita telah melihat kepimpinan Perdana Menteri mengenepikan geo-politik untuk berunding terus dengan pemberontak demi mengeluarkan jenazah dan mangsa MH17. Kita telah melihat itu. Tetapi kita juga mesti perlu ingat bahawa masih ada yang belum selesai. Kebenaran dan keadilan masih belum dapat dicapai.

Keadilan adalah bahagian paling penting dalam Islam. Zainab tidak menangisi kesyahidan saudaranya Saidina Husin yang disembelih di Karbala kerana Zainab itu perempuan dan Zainab itu lemah. Kita orang Melayu membaca Hikayat Muhammad Hanafiyyah dan mendapati Zainab meratap dan menangis sepanjang Karbala ke Damsyik sebagai ‘kenyataan politik’. Tangisannya seperti tangisan Ya’qub mendatangkan kegerunan buat musuh. Betapa ramai umat Islam di sepanjang jalan Iraq ke Syria yang bangun melawan penindasan dan kezaliman pemerintahan Yazid?

Ini adalah peluang untuk Malaysia menjadi besar. Insiden MH 17 ini penting kerana ia bukan sahaja menyatukan seluruh umat dan bangsa Malaysia, tetapi ia adalah kesempatan dan peluang untuk bangsa Malaysia menebus, bangkit dan menongkah langit menjadi bangsa dan peradaban ulung, menjadi sebuah watan dan nusa yang menggegarkan dunia supaya suara kecil kita di dengar. Tidakkah kita menyatakan di sini lahirnya sebuah cinta?

Mengapakah kita harus ikut sama dengan orang lain membangsatkan kakitangan MAS sebagai contoh? Tidakkah cukup kesedihan yang dialami? Mengapakah duhai agamawan, hati kalian sangat keras?

Persetankan dengan agamawan yang ingin menentukan emosi dan rasio kalian. Buang ulama yang tidak menyemai dan menumbuhkan sirah anbiya’. Mereka ingin menutup emosi dan rasio dari agama anda yang sebenar. Mereka tidak mahu bersatu di kala negara dalam keadaan duka. Mereka tidak mahu bersatu dalam keadaan apa pun. Ini bukan agama anda. Bukan. Agama anda adalah fitrah. Awasi lah ustaz seperti ini di surau kejiranan anda. Hari ini mereka menafikan tangisan anda, anda diam anda akur dan anda melihat generasi baru anda memiliki hari yang keras, hati yang tidak lembut, peribadi yang tiada perlambangan.

Esok, berdiri dari kekerasan hati anak-anak kita itu, agamawan dan ulama ini akan membakar anak-anak remaja anda supaya menjadi egois. Mereka akan meluru keluar tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mereka akan meluru untuk menjatuhkan anda. Mereka sedang mengalami proses, dibentuk dan dikraf menjadi militan.

Ketika itu anda akan sedar. Kesempatan yang ada telah disia-siakan.

Perkabungan dan bertafakur mempunyai niat yang baik. Dalam Islam ia dibenarkan. Dalam Islam ia digalakkan. Dalam Islam ia adalah satu kekuatan. Ia adalah satu tanda. Satu cerita. Satu tenaga. MH17 tidak berakhir dengan istiadat perkabungan dan penghormatan. Tidak. Malaysia dan seluruh rakyatnya harus tidak duduk diam. Kita menanti keadilan. Kita menagih kebenaran. Malaysia bukan lagi negeri kecil.

Malaysia mesti menjadi negeri yang tidak lagi kecil. Demikianlah kita harus keluar dari MH17, dengan kekuatan baharu. Sebagai jiwa yang merdeka.

MH17 merubah kita. Tangisan dan perkabungan ini telah menjadikan kita anak watan yang baharu. Tuan-tuan, jiwa kita adalah jiwa yang menyala. Jangan biarkan kesempitan agama merebutnya.
 

Fesal Tulani
no image
  • Title : Mati Pun Kain Terbelah Sampai Paha,Syahidkah Mereka?
  • Posted by :
  • Date : 23:33
  • Labels :
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top