RAMAI yang menghubungi penulis bertanyakan bila hendak ke Pulau Natuna, berikutan pendedahan penulis tentang hubungan kepulauan itu dengan Terengganu. Malah ada yang mahu ikut serta untuk ke sana.
Memang ramai yang berminat mengikuti kisah benar tentang Pulau Natuna yang terletak di Laut China Selatan betul-betul bersetentang dengan bandar Chukai, Kemaman Terengganu.
Penulis ingin membongkar lagi kisah cinta Teni binti Abdul Manan, berusia 49 tahun seorang keturunan Natuna dengan lelaki Chukai Kemaman. (satu kisah dari banyak lagi kisah percintaan dan perkahwinan gadis Natuna dengan orang Kemaman).
Kini gadis bernama Teni itu telah pun menjadi seorang nenek dan tinggal di Chukai Kemaman- tidak ramai yang mengetahuinya.
Teni dari Kepulauan Natuna yang kini menetap di Chukai berasa amat bahagia bersuamikan orang Kemaman.
Masih kejap dalam memorinya, kira-kira 34 tahun yang lalu datang ke Chukai Kemaman, menaiki bot nelayan dari Terengganu untuk mencari penghidupan baru.
Biarpun terpaksa mengharungi badai gelombang di tengah lautan, dia yang baru berusia 15 tahun waktu itu nekad bahawa di hujung sana ada negeri lain yang boleh memberi suatu sinar baru bagi kehidupannya yang sunyi di pulau yang bersetentangan bandar Chukai Kemaman di tengah-tengah Laut China Selatan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Namun, pulau tempat asalnya itu, Seluan (antara pulau yang terdapat dalam gugusan Natuna) adalah di bawah jajahan takluk Indonesia, meskipun hatinya begitu mencintai Malaysia dan sebuah negeri yang bernama Terengganu.
Kini cintanya kepada Terengganu, Malaysia menjadi kenyataan apabila bersuamikan Kamaruzan awal 50 an, orang Kemaman Terengganu.
Cintanya kepada Kamaruzan adalah cintanya juga kepada Terengganu, malah beliau sebelum ini beberapa kali sanggup 48 jam bertarung dengan gelombang di lautan demi kasih sayangnya pada Kamaruzan lelaki Kemaman yang berjaya mencuri hatinya.
Zuriat pertama yang dilahirkan hasil percintaan suci Teni-Kamaruzan diberi nama Deby Marindo (kini menetap di Shah Alam).
Deby yang kini telah berusia 27 tahun dilahirkan di kampung halaman ibunya, Teni di Pulau Seluan, Natuna.
Ini kerana sebaik sahaja mengandung tiga bulan, Teni menjadi terlalu rindu kepada orang tuanya di pulau Seluang, Natuna, lantas pulang ke sana dengan menumpang bot nelayan di Chukai Kemaman.
Sewaktu itu ibubapa yang kebetulan dari ke Kemaman dari Natuna turut menemani Teni pulang sementara ke Natuna.
Mereka ke Seluan, Natuna menumpang bot nelayan Kemaman dengan harapan suaminya datang mengambilnya kembali setelah pulang untuk melawat kampung asalnya.
(Sebelum itu ayah dan ibu yang rindukan anaknya Teni itu sanggup datang ke Chukai, juga dengan menumpang bot nelayan).
Akhirnya dia melahirkan anak sulung, yang dinamakan Deby itu tanpa suami di sini. Dua tahun kepulangannya semula ke Pulau Seluan Natuna, itu tanpa khabar berita tentang suaminya.
“Bagi Teni, Teni fikir sebenarnya sudah berpisah, tiada harapan lagi dan biarlah Teni kembali bersendiri bersama anak hasil perkahwinan sahnya dengan Kamaruzan,” katanya mengenang peristiwa pilu dalam hidupnya yang lalu itu.
Tanpa di duga, suatu hari dia menerima sepucuk surat yang disampaikan oleh seorang nelayan Kemaman yang datang ke pulau itu yang kebetulan kawan suaminya dengan disertakan lukisan wajah berairmata, yakni orang dalam kesedihan dan derita.
Lalu dia berpesan kepada kawan suaminya itu, bahawa dia juga masih mencintai dan mengingati suaminya dan menunggu biarpun berapa lama sekalipun.
Kawan kepada suaminya itu kembali ke Kemaman membawa khabar itu kepada Kamaruzan, suami Teni yang berada di Chukai Kemaman.
Lantas Kamaruzan mengambil keputusan nekad menaiki bot nelayan dari Kemaman itu terus ke pulau Seluan, Natuna untuk membawa pulang kembali Teni ke Chukai Kemaman, termasuklah anak mereka, Deby Marindo yang dilahirkan oleh Teni di pulau itu.
Inilah sebahagian dari Pulau Natuna dekat Terengganu tetapi milik Indonesia
Teni yang pernah bekerja di Kampung Air, Kemaman kini bersama Kamaruzan dan anak serta cucunya begitu bahagia sekali.
Teni ketika ditemubual penulis yang membongkarkan hubungan Kepulauan Natuna dengan nelayan Kemaman ini menyatakan, baginya Natuna dan Terengganu adalah sebahagian dari sejarah kehidupannya.
Kisah cinta suci ini penulis abadikan bagi menggambarkan betapa eratnya hubungan penduduk Chukai, Kemaman, khususnya nelayan dengan kepulauan itu.
Hubungan dua tempat yang berlainan pemerintah itu adalah suatu kenyataan bukannya fantasi.
Hubungan cinta Teni dan Kamaruzan juga adalah suatu realiti; bukti Natuta dan Terengganu yang termaktub dalam sejarahnya.
Semoga mendapat pertimbangan untuk penulis ke sana, meneruskan kajian.
Teganukite
0 comments:
Post a Comment