"Semua rakyat Gaza berada jalan raya. Mereka melaungkan takbir dan zikir sempena gencatan senjata jangka panjang yang termeterai antara Hamas dan Israel, petang tadi (malam tadi waktu Malaysia).
Begitulah kata penuntut Malaysia yang belajar di Universiti Islam Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman.
"Rata-rata rakyat Gaza turun ke jalan raya dan berhimpun beramai-ramai sambil mengalunkan takbir serta munajat kepada Tuhan.
"Ada di antara rakyat Gaza yang menitiskan air mata sambil bersujud terhadap gencatan senjata berkenaan. Takbir saling bersahutan sejak lewat petang tadi sebagai tanda kesyukuran.
"Saya juga bersama-sama dengan rakyat Gaza turun di jalanan berhimpun sambil memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan.
"Biarpun peperangan kali ini mengorbankan ribuan nyawa, namun kejayaannya begitu manis kerana Israel akur dengan syarat yang diletakkan Hamas. Itu yang paling utama," katanya selepas dihubungi Harian Metro, di sini, awal pagi tadi.
Mengikut maklumat oleh beberapa agensi berita antarabangsa, Israel akhirnya mengalah dalam peperangan dan memberikan persetujuan `gencatan senjata tanpa had' yang sekali gus menamatkan peperangan tujuh minggu di Gaza.
Pegawai kanan Israel memberitahu: "Kami sudah menerima cadangan yang diusahakan oleh Mesir, termasuk menamatkan peperangan ini."
Mesir dalam satu kenyataan di Kaherah mendakwa antara dipersetujui adalah membuka sempadan antara Israel dan Gaza untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan dan bahan binaan.
Difahamkan, kedua-dua pihak iaitu Hamas dan Israel akan kembali ke meja rundingan sebulan selepas ini.
0 comments:
Post a Comment