Hanis Zalikha
“SAYA anggap gosip sebegini seperti angin lalu yang meniup rambut saya sehingga kusut, tapi selepas itu saya akan betulkan kembali rambut dan ia akan kembali seperti sedia kala,” ujar Hanis Zalikha berhubung dakwaan dia kini sudah mula besar kepala.
Menjelaskan dengan lebih lanjut Hanis atau nama sebenarnya, Hanis Zalikha Zainal Rashid, 23, berkata, isu yang mengatakan dia ‘demand’ pernah timbul sebelum ini dan dia lebih gemar mengambil sikap berdiam diri, kerana menganggap perkara itu akan berlalu begitu sahaja.
“Saya akui agak terkejut dan malu apabila ada pihak mengatakan saya mula ‘demand’ kerana meminta bayaran untuk sesi fotografi.
“Ingin saya tegaskan, saya tidak pernah berbuat demikian dan saya juga faham artis dan wartawan saling memerlukan.
“Sebelum ini, cerita mengatakan saya semakin ‘demand’ pernah keluar dan saya diamkan saja. Tapi bila keluar sekali lagi cerita sebegini, ramai pembaca blog saya menyarankan saya membuat kenyataan,” jelasnya.
Menerusi sebuah akhbar minggu lalu, heroin filem Gangster Celop ini dikatakan meminta bayaran kepada salah sebuah organisasi media untuk mengambil gambarnya.
Ditanya adakah ini antara agenda sesetengah pihak yang ingin menjatuhkan kariernya, Hanis berkata: “Saya tidak tahu ia sabotaj atau agenda menjatuhkan nama saya.
“Bagaimanapun, saya bersikap positif dan tidak mahu terlalu melayan cerita-cerita negatif seperti ini,” katanya.
Rezeki murah
Hanis berkata, di sebalik cerita negatif yang timbul, dia bersyukur kerana tawaran lakonan dan pengacaraan yang diterimanya kini semakin mencurah-curah.
Katanya, minggu depan, dia akan memasuki set penggambaran filem pertama arahan Aaron Aziz dan turut akan berlakon di samping aktor itu serta Nabil Ahmad.
“Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah. Saya kini sedang menjalani latihan kerana filem arahan Aaron adalah sebuah filem aksi dan saya memang amat nantikan.
“Bulan depan, saya mula penggambaran musim kedua Memberku Hawa. Kemudian, rancang kelolaan saya, Mad Market juga akan jalani penggambaran untuk musim kedua.
“Selain itu, saya juga ditawar menjadi pengacara Raikan Cinta musim kedua dan akan menjalani penggambaran tidak lama lagi,” katanya.
Agenda tergendala
Biarpun mendapat tawaran mencurah-curah, Hanis berkata, dia tidak dapat melibatkan diri sepenuh masa dengan kariernya pelakon dan pengacara kerana turut bergelar ahli perniagaan. “Saya akui, saya semakin serius dengan penglibatan saya dalam bidang seni. Tapi saya tidak dapat memberi perhatian sepenuh masa kerana terikat dengan perkara lain seperti perniagaan.
“Saya kini mengelolakan sebuah perniagaan kecantikan kulit jenama Toujours Skin. Buat masa ini, ia hanya dijalankan menerusi perniagaan atas talian,” katanya.
Hanis berkata, walaupun dia berhasrat untuk membuka kedai sendiri, namun impiannya itu terpaksa ditangguhkan sebentar kerana kesibukan kerja.
“Harapan saya, kedai tersebut akan dapat dibuka dalam tahun ini juga. Saya Cuma berharap impian saya akan terlaksana nanti,” ujarnya.
OLEH NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA
0 comments:
Post a Comment