Pelukan Erat Hingga Hujung Nyawa
Malang tidak berbau apabila seorang lelaki dan anak tirinya berusia empat tahun, maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Kilometer 7, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, kira-kira 5 pagi semalam.
Lebih tragis di lokasi, Ellyas Salleh, 33 yang meninggal dunia serta merta di tempat kejadian masih mendakap erat anak tirinya, Julia Alfiana Nasyirah Agi Kasumi yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Daerah Johor Bharu Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang masak kantin mahu melintas jalan bersama anak tirinya dari arah Kampung Dato Sulaiman Menteri, namun dilanggar sebuah kereta.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak kira-kira lima meter ke lorong tiga dari pembahagi jalan dan si bapa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala anak tirinya yang turut mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah pada jam 12 tengahari,” katanya.
Sulaiman berkata, pemandu kereta turut mengalami kecederaan kecil di bahagian tangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pejalan kaki perlu lebih prihatin dan tidak melintas jalan sesuka hati terutamanya di persimpangan yang mempunyai lampu isyarat.
“Pejalan kaki dinasihatkan menggunakan laluan pejalan kaki atau n lintasan yang dikhaskan bagi mengelakkan kemalangan berlaku,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Zuraina Hashim, 50, berkata, dalam kejadian itu anaknya bersama isteri, Wati Damam, 29, dan anak mereka ingin menaiki teksi untuk bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Pasir Gudang.
“Makcik dapat panggilan telefon dari menantu pada kira-kira jam 5.10 pagi dan beritahu suaminya maut selepas dilanggar kereta manakala Julia kritikal dan telah di bawa ke hospital.
“Sebelum kejadian itu, Wati terlebih dahulu sudah melintas jalan, namun terkejut apabila mendapati suami dan anak yang didukungnya sudah tidak sedarkan diri.
“Pada ketika itu Elyas masih memeluk Julia yang masih nyawa-nyawa ikan,” katanya ketika ditemui di wad kecemasan Klinik Waqaf Annur Pasir Gudang di sini.
0 comments:
Post a Comment