Semasa P Uthayakumar dipenjarakan, isterinya S Indra Devi sudah beberapa kali membangkitkan isu keadaan tidak bersih dialami suaminya.
Uthayakumar, yang dijatuhi hukuman penjara 30 bulan bawah Akta Hasutan pada 2013, berkata beliau mengetengahkan itu itu kerana ia melibatkan semua orang.
Mengimbas pengalamannya menggunakan 'gayung serba guna' di penjara Kajang, Uthayakumar berkata banduan menggunakan gayung yang sama untuk mencuci luka dan merendam pakaian dalam.
“Jika bekas makanan kurang, warden masukkan makanan dalam gayung yang mana banduan akan makan menggunakan tangan, termasuk yang ada keruping di tangan,” katanya.
Uthayakumar berkata beliau pernah melihat banduan muntah dalam gayung.
Berhubung makanan pula, Uthayakumar pula berkata menu dihidangkan tidak mempunyai rasa.
“Ini kali pertama saya dengar istilah 'sup air',” katanya.
Beliau juga berkata sup yang dihidangkan juga hampir tiada langsung minyak, yang menjelaskan kenapa kebanyakan tahanan mempunyai kulit yang kering.
P Uthayakumar memegang hujung berus gigi usang di jari telunjuk beliau dan menunjukkan bagaimana beliau memberus gigi di penjara.
Berus gigi itu sudah bertukar warna kepada perang, kotor dengan berusnya hampir tiada.
"Ia dikongsi oleh hampir lima banduan dalam satu penjara - biasanya lebih dari itu.
“Bila saya minta kepada warden, mereka kata tiada bajet untuk membeli berus gigi," kata Uthayakumar, yang mahu memberitahu segalanya mengenai pengalaman ketika menjadi banduan di Penjara Kajang.
Uthayakumar pernah mengalami pengalaman menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri sebelum ini bersedia untuk pengalaman hampir sama ketika dijatuhkan hukuman di bawah Akta Hasutan.
Pengalaman tersebut menyedarkan beliau yang perkara sama tidak wajar dilalui oleh seteru politiknya sekalipun.
Sewaktu di penjara, Uthaya menulis beberapa surat dan diseludup melalui isteri dan peguamnya - untuk mengadu tentang keadaan penjara.
Beliau antaranya mendakwa warden penjara membenarkan tahanan muda yang dilantik sebagai 'jurulatih' untuk membuli tahanan lain.
Tahanan muda tersebut kemudiannya akan membalas 'keistimewaan' itu dengan mengurut warden-warden penjara secara percuma.
Pemimpin Hindraf ini dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 Jun 2013.
Beliau didapati bersalah menuduh Putrajaya melakukan pembersihan etnik terhadap warganegara berketurunan India.
Pada 17 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan hakim namun mengurangkan hukuman dari 30 bulan kepada 24 bulan.
Menurut Uthayakumar, beliau menghabiskan banyak masa di dalam penjara semata-mata untuk kekal waras.
Semangat aktivisme yang dibawanya bersama ke dalam penjara membantu beliau berbuat demikian.
Bezanya kata Uthayakumar, di dalam penjara, perjuangannya adalah untuk semua orang dan bukan orang India semata-mata.
"Dalam penjara, semua orang dilayan sama rata - sama rata buruknya.
"Dalam penjara ini memang ada semangat 1Malaysia. Ada kesamarataan untuk semua - dalam menerima layanan yang teruk," kata aktivis itu sewaktu diwawancara oleh Malaysiakini.
Perkara yang paling ditakuti oleh tahanan dalam penjara, kata Uthaya bukanlah herdik dan maki hamun oleh warden penjara atau kekasaran fizikal.
Mereka paling risau seandainya mereka jatuh sakit.
0 comments:
Post a Comment