/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Monday 6 October 2014

Masjidilharam...Dari Bulan Ke Bulan,Dari Tahun Ke Tahun,Dari Zaman Ke Zaman

Ketika zaman kanak-kanaknya, Osama al-Bar kerap berjalan dari rumahnya melintasi depan Kaabah ke pasar yang menjual rempah ratus serta kain di mana ayahnya pernah berniaga.
Ketika itu, Makkah sangat kecil sehingga jemaah boleh duduk berhampiran Baitullah dan melihat pemandangan indah padang pasir berlatarbelakangkan gunung-ganang, tempat Rasulullah (SAW) sendiri pernah melaluinya.
MASJIDILHARAM pada 1954.
Kini, pasar dan rumah di sekelilingnya sudah tiada lagi. Sebaliknya, menara hotel mewah.

Malah, bukit-bukau berhampiran juga sudah diratakan dan bekas tapaknya dipenuhi kren yang masih dalam proses membina lebih banyak deretan hotel.
“Ayah saya dan sesiapa yang pernah tinggal di Makkah pada zaman itu pasti tidak mengenalinya lagi jika melihatnya hari ini,” katanya yang juga datuk bandar Makkah.
GAMBAR dirakam dari udara menunjukkan Makkah dan Kaabah pada 1988.
Ketika umat Islam dari seluruh dunia memenuhi kota suci itu sempena musim haji, mereka pasti terkejut dengan transformasi gergasi dilalui Makkah - perubahan besar dalam sepanjang sejarahnya.

Hanya beberapa dekad lalu kota Makkah sekadar himpunan beberapa kejiranan yang berusia beberapa abad sehinggalah sedikit demi sedikit ia mula mengalami beberapa perubahan kecil.

                                                         1889.

Namun selepas tahun 2000, kerajaan Arab Saudi mula melakukan perubahan besar dengan beberapa siri projek mega yang jelas mula mengubah Makkah daripada bentuknya yang asal.

Kejiranan lama sudah dihapuskan dan kini digantikan dengan pelbagai menara hotel serta kompleks beli-belah sehingga ada yang hanya beberapa langkah dari Masjidil Haram.

                                   MASJIDILHARAM pada 18 Februari, 2002.

Malah, bersebelahan Kaabah terletak pencakar langit ketiga tertinggi di dunia dengan jam gergasi yang memancarkan lampu warna-warni, menghiasi ruang udara Makkah setiap malam.

Pemimpin Arab Saudi menegaskan pembaharuan itu amat perlu untuk menampung jumlah jemaah haji yang dijangka semakin bertambah daripada 3 juta yang direkodkan sekarang kepada hampir 7 juta menjelang 2040.

Proses pembesaran Masjidil Haram yang menelan belanja AS$60 bilion (RMl96 bilion) itu antara lain melihat penambahan ruang bagi membolehkan jemaah menunaikan solat.

Kira-kira separuh daripada kos itu juga digunakan untuk membeli kira-kira 5,800 rumah yang terpaksa dimusnahkan untuk membolehkan projek berkenaan diteruskan.

Ini termasuk merobohkan tiang dan kubah yang dibina sejak zaman Empayar Uthmanyiah untuk membolehkan kemudahan moden dibina.

                                        MASJIDILHARAM pada 2010.

Satu lagi projek mega melihat Jabal Omar - bukit di barat Masjidil Haram - yang juga salah satu mercu tanda kota itu diratakan dan kini hampir 40 menara sedang dibina di situ, kebanyakannya untuk hotel mewah yang menyediakan kira-kira 11,000 bilik penginapan.

Hotel pertama di Jabal Omar, Hilton Suites dan Hotel Anjum baru dibuka beberapa bulan lalu.

Menara jam gergasi berukuran 1,972 kaki pula terletak di selatan Masjidil Haram dan menjadi sebahagian daripada kompleks tujuh menara yang dibina di tempat yang pernah menjadi lokasi kubu Empayar Uthmaniyah.

Satu lagi projek yang se­dang dibina adalah di Jabal Sharashif, kawasan yang sebelum ini dihuni penduduk miskin, khususnya dari Myan­mar serta Afrika. Kawasan itu bakal dirun­tuhkan untuk membina ke­jiranan baru untuk warga Saudi selain hotel.

Sistem kereta api metro dengan empat landasan juga dalam perancangan termasuk landasan rel kereta api berkelajuan tinggi di Jeddah dan Madinah.

Pembesaran Masjidil Haram dilaksanakan Kum­pulan Saudi Bin­ladin yang turut membina menara jam ber­kenaan. 

Keluarga Bin ­ladin mem­­pu­nyai pelbagai pro­jek pembangunan besar di seluruh Arab Saudi.

Ketika satu forum di Jed­dah, Mei lalu, Na­waf Binladin - anak penge­rusi konglomerat itu - berkata pihaknya sering ditanya sama ada semua projek berkenaan perlu dilaksanakan.

“Mudah saja untuk menjawabnya - lihat saja imej ini,” katanya sambil menunjukkan gambar puluhan ribu jemaah bersolat di jalan kerana tiada ruang di dalam Masjidil Haram.

Pendiriannya itu disokong Pengarah Urusan Syarikat Bawabat Makkah yang dimiliki kerajaan, Essam Kalthoum yang turut terbabit dalam beberapa projek di Makkah.

Sambil menunjukkan gambar kota Makkah pada lewat 1800-an, Essam berkata: “Sasaran utama kami adalah bagi menyediakan lebih banyak ruang untuk jemaah.

“Memang melihat gambar ini menimbulkan rasa sedih terutama bagi kita yang tahu keadaan asal Makkah. Namun semua ini perlu dilakukan,” katanya
no image
  • Title : Masjidilharam...Dari Bulan Ke Bulan,Dari Tahun Ke Tahun,Dari Zaman Ke Zaman
  • Posted by :
  • Date : 21:25
  • Labels :
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top