Seorang ibu kepada sepasang anak kembar kecewa dengan pengurusan sebuah sekolah di Gombak, Selangor kerana enggan menerima wang derma daripada anaknya untuk mengisi tabung membina surau.
Ibu itu yang mahu dikenali sebagai Zalini, 43, berkata, minggu lalu anak kembarnya yang berusia 11 tahun memberitahu guru minta murid memaklumkan kepada ibu bapa mengenai aktiviti kutipan derma yang dilakukan pengurusan sekolah berkenaan.
Katanya, semalam ketika kedua-dua anaknya hendak ke sekolah, beliau memberi tiap seorang RM50 supaya mendermakan wang itu kepada guru kelas.
"Bagaimanapun, guru berkenaan enggan menerimanya dengan meminta anak saya supaya memberitahu kepada saya agar menderma sekurang-kurangnya RM1,000 atau lebih.
"Apabila balik dari sekolah, kedua-dua anak menyerahkan wang RM100 kerana guru tidak mahu terima. Guru kata, saya seorang usahawan, tidak patut derma RM100," katanya kepada MalaysiaGazette di restorannya di Gombak, hari ini.
Zalini yang tidak mahu gambar kedua-dua anaknya dirakamkan dengan alasan untuk keselamatan mereka berdua berkata, sebelum ini pun guru berkenaan ada menghantar surat meminta derma sejumlah wang daripadanya.
Ujarnya, walaupun beliau usahawan, tetapi tidak mempunyai wang sebanyak yang dimohon oleh pihak sekolah itu kerana keuntungan yang ada bukan untuk menderma, sebaliknya dijadikan modal pusingan dan sebagainya.
"Mungkin guru itu anggap apabila saya usahawan, saya mampu sumbangkan sejumlah besar wang sebagai derma untuk sekolah berkenaan.
"Prinsip saya mudah sahaja, kalau guru minta derma, saya akan beri sekadar yang mampu. Kalau guru anggap jumlah itu tidak padan dan sikit, terpulanglah kepada mereka sama ada nak ambil atau tidak," katanya dengan nada geram.
Beliau berkata, kedua-dua anak kembarnya kini berasa malu hendak ke sekolah kerana disindir oleh guru berkenaan.
0 comments:
Post a Comment