/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Friday, 10 October 2014

Bila Mummy Nak Pakai Tudung?

 Pada suatu petang, rumah saya dikunjungi usahawan wanita berusia lewat 30-an. Ketika berbincang, tele­fon bimbitnya kerap berbunyi.
Matanya menjeling pada setiap nombor yang terpapar. Ada yang dijawab dan ada juga yang dibiarkan sahaja.
Otak saya merumuskan bahawa dia adalah wanita yang sibuk tetapi cekap. Apa yang mahu dihairankan kerana dirinya seorang usahawan.
Setiap panggilan barangkali meli­batkan urusan perniagaan yang sedang diusahakan.
Namun, ada satu panggilan yang berbeza. Dia meminta izin untuk men­jawab panggilan tersebut. Telinga saya tidak dapat menapis perbualan tersebut.
“Ya ustaz. Ada orang di rumah. Anak-anak saya pun rasanya tengah menunggu. Nanti saya hubungi pem­bantu rumah,” kedengaran suara wani­ta itu menjawab panggilan.
Belajar mengaji
Selepas panggilan tersebut, dia menghubungi seseorang. Saya dapat mengagak yang anaknya berada di hujung talian.
“Ustaz sudah ada di luar pagar. Tolong buka segera. Pastikan adik-adik pakai baju kurung dan pakai tu­dung. Songkok awak? Cuba cari dalam almari bilik mummy,” ujarnya.
Usai memberikan arahan ke­pa­da anak-anaknya, wanita itu terse­nyum memandang saya. Wa­jahnya malu-malu apabila me­nga­rah­kan anak-anak pe­rem­puan berbaju kurung dan bertudung. Anak lelaki harus bersongkok.
“Ustaz datang mengajar anak-anak mengaji di rumah?” sambil membalas senyuman, saya bertanya sekadar mem­buat andaian.
Wanita itu menganggukkan kepala. Katanya, walaupun ber­penampilan rugged, dia mahukan anak-anaknya mendalami agama Islam dan mengaji al-Quran.
Kongsinya lagi, dia sering diajukan soalan oleh anak-anak perempuannya. “Bila agaknya mummy mahu bertudung?”
“Awak pakailah tudung, jangan tunggu mummy. Sampai ma­sa nanti, mummy pakailah,” usa­ha­wan itu memberikan jawapan.
Didikan agama
Entah mengapa, saya terkedu men- dengarkan jawapan yang diberikan oleh wanita tersebut kepada anak pe­rempuannya.
Alhamdulillah... Subhanallah... Allahu Akbar.
Tanpa disedari, saya benar-benar mengagumi kegigihan wanita itu dalam memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anaknya.
Namun, terasa sayu, sedih dan sebak dengan jawapan yang diberikan ke­pa­da anak-anaknya. Hati berdoa agar Allah memberikan hidayah serta membimbingnya.
Dalam diam, saya pula yang muhasabah diri. Dalam hati berkata, aku mahu anak-anak menjadi soleh dan solehah tetapi solehahkah aku kepada kedua ibu bapaku?
Duhai wanita yang berusaha keras di dunia, sedarkah kita betapa anak-anak juga merupakan satu perniagaan? Kita sebagai ibu bapa pula adalah pela­bur utama seawal melangsungkan per­kahwinan.
Bukankah kita memohon daripada-Nya untuk dikurniakan zuriat? Tia­da sesiapa yang melabur dalam pernia­gaan untuk mendapat kerugian.
Lihatlah perjalanan perniagaan kita. Apakah ia dilaburkan untuk mendapat kejayaan dunia semata-mata? Bagai­mana pula dengan pulangan di negeri akhirat? Allah Ya Allah...
Kejayaan sebenar di sisi Allah adalah apa yang diperoleh semasa akhirat nanti. Misalnya melalui surah an-Nisa, ayat 174. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai sekalian umat manusia! Sesung­guhnya telah datang kepada kamu: bukti dari Tuhan kamu dan Kami pula telah me­nurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) Nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).”
Aurat
Namun, hati saya lebih bersimpati dengan pengakuan bekas pelajar yang kini menjadi personaliti terkenal. Tentu sekali saya bersedih dan berdukacita dengan perubahan penampilannya. Auratnya sudah tidak terjaga lagi.
Personaliti ini memberitahu bahawa dia sebenarnya tidak mahu menceburi bidang tersebut tetapi telah diberikan galakan oleh ibunya.
Kata ibunya, tidak semua orang men­dapat peluang seperti bekas pela­jar itu.
Allah... Ya Allah... semoga Allah memberi petunjuk serta membimbing beliau dan ibunya. Insya-Allah, mudah-mudahan suatu hari nanti personaliti ini berubah menjadi da’i yang da­pat menarik ramai orang dalam men­de­kat­kan diri kepada Allah dengan pengaruhnya sebagai selebriti.
Duhai diriku yang semakin tua... sedarlah... barangkali apa yang kamu sedihkan serta apa yang dipandang pada hari ini merupakan perkara yang telah kamu lalui. Barangkali kamu juga sebahagian daripadanya dan pernah bertindak begitu.
Namun, janganlah berhenti men­doa- kan kebaikan terhadap mereka. Ba­rang- kali suatu ketika dulu ada insan dengan tulus hatinya mendoakan perkara yang baik-baik untuk diri­mu. Barangkali ada yang berkata: “Ya Allah, lembutkanlah hatinya. Pan­car­kan cahaya addin-Mu dalam hati nuraninya.”
Usah menyerah kalah apabila me­nyaksikan perkara mungkar di depan mata. Nyatakanlah, lafazkanlah secara berhadapan jika berupaya. Jika tidak berkemampuan, serahkan segala uru-s­an kepada Allah yang menjadikan dan mematikan manusia.
Melalui surah al-Mukminun, ayat 4. Allah berfirman yang bermaksud: “(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk meme­liharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hamba-Nya.”
Duhai diri yang mahu ke arah ke­baikan serta keredaan Allah... Ada pel­bagai cara yang boleh dilakukan untuk mengajak manusia ke arah kebaikan. Apa jua caranya, ia harus bermula de­ngan diri sendiri. Apakah kita mahu menyarankan perkara yang tidak kita amalkan?

AllahuAkbar!


no image
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top