/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Friday, 19 September 2014

MH17:Sekeping Nota Kuning Buat Ali

JUNAIDAH Basiron, ibu kepada Allahyarham Mohd Ali menangis sambil mendapat buku-buku anaknya di Universiti Erasmus, Rotterdam, Belanda. Foto FAREEZ FADZIL.


Allahyarham Mohd Ali Md Salim, 30, salah seorang mangsa nahas pesawat MH17 merupakan satu-satunya penuntut Malaysia yang terlibat dalam kajian neurpsiko patologi di peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Erasmus, Rotterdam, Belanda.
Justeru tentulah pelbagai pihak terutamannya pensyarah di universiti tersebut amat merasai kehilangan seorang bakal pakar psikologi yang baik.
Sebelum terlibat dalam tragedi MH17, calon Doktor Falsafah itu sedang menyiapkan tesis berkaitan pembangunan neurpsiko patologi yang secara dasarnya mengenal pasti bagaimana seseorang individu yang mengalami gangguan saraf boleh mendorongnya melakukan perkara-perkara berkaitan jenayah.

MD Salim Sarmo tidak dapat menahan sebak melihat gambar anaknya Allahyarham Mohd Ali Md Salim diabadikan untuk kenangan di University Erasmus, Rotterdam, Belanda. Mohd Ali merupakan salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi MH17 di timur Ukraine

 Dimaklumkan Mohd Ali adalah penuntut Malaysia pertama yang terlibat dalam kajian seumpama itu di universiti berkenaan.

Profesor Psikologi Klinikal, Institut Psikologi, Prof. Ingmar Franken berkata: "Kematian Ali satu kehilangan kepada Malaysia kerana dia bakal menjadi ahli psikologi yang baik kepada Malaysia," katanya  dalam satu pertemuan antara keluarga Mohd Ali dan pihak universiti kelmarin.
Beliau menyifatkan Ali seorang penyelidik yang sangat rajin dan memiliki komitmen yang tinggi dalam penyelidikannya.

"Anda semua memang beruntung kerana dikurniakan anak yang istimewa "- Prof. Ingmar Franken

"Sejujurnya saya kagum dengan sikapnya. Beliau gigih sehingga kami sentiasa seronok mencabarnya membuat beberapa kajian baru bagi melengkapkan tesisnya.
"Cabaran kami sentiasa disambut dengan senyuman cerianya, itulah Ali. Anda semua memang beruntung kerana dikurniakan anak yang istimewa," kata-katanya itu disambut dengan deraian air mata oleh seluruh ahli keluarga Mohd Ali yang mengunjungi universiti berkenaan.
UNCLE Jo bersama keluarga Allahyarham Mohd Ali Md Salim mengemaskan barangan-barang milik Allahyarham untuk dibawa pulang ke tanah air.
Dalam pertemuan hampir tiga jam itu, keluarga Mohd Ali dibawa melawat ke Tingkat 13, di Institut Psikologi, yang mana kalungan bunga ditempat di situ bagi memperingati kematian penuntut tersebut.
Melawat bilik kerja Mohd Ali di Tingkat 13, Institut Psikologi itu mengundang suasana yang cukup sayu oleh ahli keluarga dan tiga rakan karibnya.
Meja yang terletak di tepi tingkap itu dipenuhi buku-buku psikologi dan statistik serta kertas-kertas penyelidikannya yang tersusun rapi.
Rakan baikknya, Mohamad Azuwa Mohamed yang turut serta dalam kunjungan itu tidak dapat menahan airmata apabila melihat sekeping nota kuning yang memaparkan kata-kata semangat yang diberi kepada Mohd Ali semasa menemui beliau di bilik itu pada tahun lalu masih terlekat dengan baik di komputer.

IBU Allahyarham Mohd Ali ditenangkan oleh Mohamad Azuwa.
"Inilah sifat Ali. Sentiasa menghargai kawan-kawan, walaupun sekeping nota yang tidak seberapa," kata Azuwa yang memberitahu nota kecil itu diberikan sebagai tanda sokongan moral kepada Mohd Ali untuk menyiapkan tesisnya.
Malah, ada sekeping kertas tulisannya yang mencatatkan nombor kad pengenalan ibunya.
Di dalam laci dua tingkat di sisi meja kerja itu pula masih terdapat coklat dan beberapa jenis biskut.
Pembantu Profesor Psikologi Forensik, Institut Psikologi, yang juga pensyarah yang membantu Mohd Ali dalam tesisnya, Sanne van Dongen berkata, biskut dan coklat adalah kegemaran Ali.
"Dia memang akan mengunyah makanan ini di bilik ini," katanya.

"Tetapi kalau dia sudah malas berdebat, dia akan kata ok bos. Perkataan itu saya tidak lagi dengar sejak dia tidak ada di sini," - Sanne van Dongen
Sanne yang rapat dengan Mohd Ali berkata, beliau memang terkejut dengan insiden yang menimpa Mohd Ali.
"Selepas mendengar berita itu, saya berharap ia tidak betul tetapi kita semua tidak dapat menolak takdir," ujarnya sambil mengakui masih terkenang saat-saat berdebat dengan Mohd Ali.
Ceritanya, satu sifat Mohd Ali yang tidak boleh dilupakan ialah dia satu-satunya penuntut yang akan memanggilnya bos.
"Saya suka cabar dia dan dia akan berdebat dengan saya tapi pendekatannya lembut. Tetapi kalau dia sudah malas berdebat, dia akan kata ok bos. Perkataan itu saya tidak lagi dengar sejak dia tidak ada di sini," kata Sanne sambil tunduk.
Mohd Ali sepatutnya menamatkan pengajiannya pada April tahun depan dan menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

ADIK beradik Mohd Ali Md Salim melihat nota-nota penyelidikan Allahyarham di University Erasmus, Rotterdam, Belanda.

MG
no image
  • Title : MH17:Sekeping Nota Kuning Buat Ali
  • Posted by :
  • Date : 20:49
  • Labels :
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top