Pengguna media sosial hari ini mengecam Laura Bushney, seorang wanita warga Australia yang mendakwa diraba ketua pramugara Malaysia Airlines (MAS) ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos lalu.
Menerusi ruangan komen di laman Facebook Sunday Night, program terbitan Channel 7 televisyen Australia, ramai melahirkan keraguan berhubung pengakuan Bushney kerana dia mendakwa dia sempat merakam perbuatan itu melalui telefon bimbitnya.
“Betul-betul merepek. Dia lakukannya kerana satu perkara saja. Wang. Selain merosakkan reputasi orang yang tidak bersalah,” kata Jessica Greenhill diikuti lebih 300 komen lain.
Wanita Australia, Laura Bushney, mendakwa ketua pramugara dalam penerbangan MAS dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos lalu merogolnya di tempat duduk di barisan 81.
Bushney, 26, dalam wawancara bersama Sunday Night berkata, ketua pramugara MAS itu merayu kepadanya supaya tidak melaporkan insiden tersebut kepada pihak berkuasa kerana bimbang diketahui isteri dan anak-anak.
Katanya, anak kapal MAS itu cuba mengambil kesempatan atas perasaan takutnya ketika terbang dengan MAS berikutan insiden pesawat MH370 dan MH17, lalu dia duduk di sebelahnya sambil mengurut kakinya dengan alasan cuba menenangkannya.
Bushney memberitahu, lelaki itu kemudian memasukkan tangannya ke dalam seluarnya sambil meraba kemaluannya.
Katanya dia terkejut waktu itu dan terfikir-fikir kemudiannya: "Mengapa saya tidak jerit, mengapa saya tidak berteriak?
"Saya seorang yang tabah. Saya boleh lakukannya. Saya tahu saya boleh. Tetapi waktu itu saya terlalu takut untuk berbuat apa-apa."
Seorang lagi pengguna media sosial, Tanya Pearce memberi komen dia percaya Bushney sengaja membiarkan perkara itu berlaku kerana mahu mendapat pampasan dari MAS.
“Saya percaya dia membiarkan perkara itu berlaku. Dia tidak benar-benar menangis. Saya tak tahu bagaimana dia dalam ketakutan tetapi tidak menjerit.
“Apa yang dia (ketua pramugara) boleh lakukan dalam pesawat yang penuh dengan penumpang? Saya fikir dia (Bushney) hanya hendakkan pampasan,” katanya di laman Facebook itu.
Alexandra Shand pula berkata apa yang dikatakan Bushney sangat kelihatan seperti dakwaan palsu dan membuatkannya menukar siaran dari terus menyaksikan program Sunday Night.
“Saya gembira bukan saya seorang sahaja yang ingat ada sesuatu yang pelik dengan berita ini,” katanya.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama CJ Booth berkata Sunday Night sengaja mensensasikan dakwaan Bushney ekoran kejadian dua pesawat malang MH370 dan MH17 yang menimpa MAS.
“Jika ia bukan MAS, cerita ini tidak akan disiarkan. Jadi, jangan katakan kamu lakukan untuk dia (Bushney) apabila tujuan sebenar untuk mendapatkan penonton,” katanya.
Kebanyakan pengguna media sosial yang melemparkan kritikan melihat tindakan Bushney merakam insiden itu sebagai di luar kewarasan fikiran apabila berdepan dengan keadaan kritikal seperti itu.
Mereka berkata daripada merakam insiden berkenaan, sewajarnya Bushney mengambil tindakan mengelak membiarkan perkara itu terus berlaku.
“Dia boleh ambil telefon dan rakam tetapi tidak menjerit atau memukul. Saya lihat dia tidak jujur,” kata Michelle Durban yang turut disokong beberapa pengguna Facebook lain.
0 comments:
Post a Comment