/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Saturday, 30 August 2014

TEMUBUAL EKSKLUSIF RAMLI MS SELEPAS DISERBU JAIS

DATUK Ramli MS memecut laju kenderaannya, sebelum berhenti betul-betul di hadapan kediaman baharunya yang masih dalam fasa terakhir pembikinan di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor petang Jumaat lalu.
Sebaik turun dari kenderaan pacuan empat roda itu, Ramli mesra menyapa dan mempelawa saya masuk ke kediamannya.
Beliau telah terlewat setengah jam untuk temu bual eksklusif yang dipersetujuinya beberapa jam sebelum pertemuan pada hari yang sama.
Ramah dan mesra, komposer dan konduktor terkenal itu melayan saya. Bagai tiada apa yang berlaku kepadanya.
Ironi, lelaki berusia 55 tahun itu kini menjadi sorotan umum kerana dikunjungi secara mendadak oleh pegawai dari Jabatan Agama Islam (JAIS), pagi Rabu lalu bagi mengesahkan taraf pernikahannya dengan penyanyi Alyah.
Hasil kunjungan tersebut, Ramli dan Alyah sah sebagai pasangan suami isteri sejak setahun setengah yang lalu.
“Saya okay, saya tidak tertekan atau berasa reputasi saya tercalar. Saya tidak buat salah. Kediaman ini juga bukan rumah maksiat.


“Saya juga tidak salahkan JAIS, mereka buat kerja mereka. Cuma saya kasihan kepada orang yang membuat aduan kepada JAIS yang barangkali berharap bahawa saya tidak mempunyai sijil pernikahan bersama Alyah,” begitu jawab Ramli yang santai berbaju biru dan berseluar separas lutut sewaktu ditemui.
Temu bual yang dijalankan di aras dua kemudian berlangsung dengan tenang.
Ramli yang dikenali sebagai seorang pelaku seni yang tidak suka menjadi bahan berita dan begitu menjaga soal peribadinya menjawab satu persatu soalan yang dilemparkan.
Beliau bagaimanapun meminta untuk tidak menjawab kepada soalan-soalan provokasi dan tidak relevan.
Ini antara isi temu bual yang dijawab Ramli berhubung kisah rumah tangganya dengan Alyah yang tidak dihebahkan kepada umum.
Ramli memberitahu, beliau telah menjalin hubungan dengan Alyah sejak tiga tahun lalu, sebelum bernikah secara rahsia di Batam, Indonesia pada bulan Mac 2013 dengan restu keluarga Alyah. Dua orang anaknya, hasil perkahwinan terdahulu juga merestui pernikahan tersebut.
Hanya itu fakta yang boleh dikongsikan kepada umum kerana kata Ramli, beliau tidak pernah suka menjaja cerita peribadinya kepada umum.
Ditanya bagaimana perasaan cintanya boleh mekar terhadap wanita berusia 33 tahun itu, pantas Ramli menjawab ia sudah tertulis.
Katanya: “Kalau awak tanya pasal cinta kepada saya, saya rasa macam nak cari baldi sekarang! Saya sudah cukup tua untuk berbicara soal cinta.
“Semuanya sudah tertulis dan bagi saya apa yang penting ialah penikahan kami halal dan sah di sisi agama.”
Rancang majlis
Beliau kemudian menjelaskan, tidak pernah berhasrat menyembunyikan pernikahan mereka, hanya tidak memberi hebahan tentang perkara mulia itu kepada umum atas alasan peribadi.
Berasa tidak berhutang dengan khalayak untuk menjelaskan tujuan tidak menghebahkan pernikahan yang telah sah sejak setahun setengah lalu, kata Ramli apa yang penting mereka telah selamat bernikah.
“Khalayak boleh melempar tohmahan dan fantasi liar yang mengatakan ada benda kurang baik yang saya hendak sembunyikan. Padahal tidak. Ini hak mutlak saya untuk tidak menghebahkan hal peribadi kepada umum,” ujarnya.
Malah, mereka sudah lama merancang untuk mengadakan majlis resepsi yang sederhana sekitar hujung September depan.
“Sebenarnya, sudah lama saya rancang, sebaik kediaman ini siap, saya akan umumkan pernikahan ini dalam keadaan yang jelas.
“Saya seorang lelaki yang sudah cukup matang. Pada pendirian saya, saya mahu kediaman ini siap terlebih dahulu. Bagi sesiapa yang tahu, saya sekian lama tinggal di hotel, maka saya berhasrat untuk membawa ibu saya dan isteri saya tinggal di sini.
“Sebaik kami semua sudah sebumbung, sekitar hujung bulan September ini barulah saya mahu mengadakan majlis sederhana meraikan pernikahan kami.
“Bagaimanapun, sebab ada pihak yang tidak sabar, terlalu sibuk dan kepoh, maka saya tunda hasrat tersebut. Saya juga tidak berhasrat mengundang media pada majlis itu kerana semua sudah tahu sebelum ia sahih dari kami sendiri,” katanya panjang lebar.
Ditanya bagaimana beliau menangani tohmahan khalayak terhadap pernikahannya di Batam seumpama menafikan hak Alyah sebagai seorang wanita yang belum pernah bernikah, Ramli ketawa mengekeh.
Dalam bercanda beliau menjawab: “Eh, kami nikah dengan mas kahwin RM (Ringgit Malaysia) ya. Hantaran itu hak peribadi saya nak beri apa. Kenapa nak kepoh?
“Macam yang saya cakap tadi, saya tak peduli apa orang cakap. Kami tak buat salah. Apa yang penting semuanya sah di sisi agama.”
Ramli kemudian menyimpulkan bahawa cakap-cakap nakal dan fantasi liar segelintir pihak yang terlalu kepoh terhadap kehidupannya akan berakhir.
“Macam orang demam, lepas makan panadol, ia akan baik. Tak apalah, saya tak buat salah, jadi saya okay,” katanya berulang kali.

CERITA cinta antara penyanyi terkenal, Alyah dan komposer ternama, Datuk Ramli MS, bukanlah kisah baharu kerana sejak 2012, pasangan ini dilaporkan mempunyai hubungan istimewa.

Namun, pada pertengahan tahun lalu, timbul desas-desus mengatakan mereka berkahwin secara rahsia. Difahamkan, perkara ini didedahkan sendiri oleh rakan terdekat komposer berkenaan.

Ketika itu, Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan, 33, baharu sahaja pulang dari mengerjakan umrah dan turut mengenakan imej Muslimah selepas itu.

Pun begitu, Ramli bermati-matian menafikan perkara ini sehingga menimbulkan ketegangan antara penyanyi terkenal, Alyah dan pengamal media.

Setelah sedaya upaya cuba menyembunyikan status mereka, akhirnya serbuan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di kediaman komposer ternama ini pada Rabu lalu, menamatkan teka-teki selama ini.





no image
  • Title : TEMUBUAL EKSKLUSIF RAMLI MS SELEPAS DISERBU JAIS
  • Posted by :
  • Date : 05:42
  • Labels :
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top