/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Sunday, 24 August 2014

MH17:Bawa Mayat Istimewa Dalam Pesawat Paling Sukar

SEPANG: Ketua Juruterbang, Datuk Kapten Missman Leham menyifatkan tugasan membawa pulang 20 jenazah tragedi Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang tiba di tanah air pada Jumaat lalu adalah 'penerbangan paling sukar' baginya sejak menyertai MAS 33 tahun lalu.
Missman berkata penerbangan selama 12 jam itu juga merupakan penerbangan paling emosi buatnya kerana beliau tahu siapakah 'penumpang' istimewa pesawat khas MH6129 selain mengenali secara peribadi sebahagian mereka.
"Dua, tiga hari sebelum berlepas sudah rasa sedih, sebab kita tahu ini penerbangan paling penting dan dinantikan ramai, khususnya kepada waris mangsa," katanya semasa ditemui selepas istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Missman bersyukur kerana penerbangan yang membawa 20 jenazah itu dimudahkan, bukan sahaja dari sudut cuaca yang baik, namun mendapat kerjasama daripada semua negara yang dilaluinya.
Katanya setiap negara yang dilalui memberi penghormatan tinggi kerana mengetahui pesawat itu membawa muatan penting.
"Contohnya seperti di Iran. Lazimnya apabila melintasi negera itu, mereka akan meminta 'entry number' tetapi kali ini awal-awal lagi mereka sudah maklumkan kita.
"Mereka beritahu tidak perlu entry number, pesawat boleh teruskan penerbangan. Mereka selalunya begitu tegas dalam hal ini," katanya.


Mengimbas kenangan mengemudikan pesawat itu, Missman berkata beliau tidak putus-putus menyedekahkan al-Fatihah kepada mangsa beragama Islam dan bertafakur untuk agama lain.
"Sebelum memulakan penerbangan, saya sempat 'berjumpa' dengan mereka (jenazah). Saya cakap kepada Hakimi (pembantu juruterbang MH17 Ahmad Hakimi Hanapi) dan rakan-rakan, kami akan bawa kamu balik. Kamu akan berjumpa dengan orang yang dikasihi," katanya.
Pada penerbangan itu, Missman dibantu Kapten Bakri Othman dan Kapten Zaim Khalid serta pegawai penerbangan Yap Yoon Kong.
Ditanya apakah yang menyebabkan beliau dipilih untuk memikul tanggungjawab itu, Missman berkata ia berkemungkinan kerana MAS mahu juruterbang senior untuk mengemudi pesawat itu.
Sejak diarahkan, Missman tidak putus-putus berdoa supaya penerbangan itu berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah.
"Alhamdulillah, doa itu dimakbulkan," katanya.
Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.


Seramai 43 rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu.
ANGGOTA tentera mengusung keranda jenazah Penyelia Penerbangan Kabin MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini hari ini.

Kawalan Keselematan Semakin Ketat

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kini melaksanakan pemeriksaan keselamatan penerbangan lebih ketat di udara dan darat berikutan tragedi pesawat MH370.
Menurut satu pekeliling MAS, Juruterbang dan pembantu juruterbang kini tidak dibenarkan untuk ditinggalkan bersendirian di dalam kokpit, walaupun salah seorang daripada mereka ke tandas.
Di bawah peraturan baharu itu, seorang anak kapal perlu berada di dalam kokpit sehingga juruterbang atau pembantu juruterbang kembali semula dari tandas.
Apabila makanan dibawa ke kokpit, krew penerbangan dikehendaki berjaga di pintu untuk memastikan tiada penumpang memasuki kawasan larangan itu.
Ketua Jurutebang MAS bagi keselamatan penerbangan dan faktor manusia, Datuk Kapten Missman Leham mengeluarkan pekeliling tersebut kepada semua anak kapal.�
Sementara itu, MAHB mewajibkan mereka yang terlibat dalam penerbangan antarabangsa untuk melalui dua pengesan logam dan menjalani pemeriksaan badan sebelum memasuki pesawat.
Para pelancong juga kini perlu menanggalkan kasut, tali pinggang, jaket dan meletakkan sebarang peranti elektronik seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk pengimbasan secara berasingan. Air minuman yang dibotolkan tidak dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.
Amerika Syarikat, Britain dan Australia meminta supaya pemeriksaan keselamatan ke atas semua penumpang yang terbang ke negara-negara itu dipertingkatkan.
MAHB turut melaksanakan pemeriksaan tersebut untuk penerbangan antarabangsa lain dan mengguna pakai senarai barangan larangan, yang sama digunakan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat.
Peraturan itu berkuat kuasa pada 8 Mac, hari sama pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Jurucakap MAS mengesahkan bahawa syarikat penerbangan itu mempertingkatkan keselamatan dan menyediakan prosedur pemantauan di dalam semua pesawat.
“Bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan kami tidak dapat membincangkan sebarang prosedur ini secara terbuka.
“Pemeriksaan keselamatan adalah mandat oleh pihak berkuasa keselamatan penerbangan dan ia dijalankan oleh mereka,” kata jurucakap itu.
Seorang juruterbang MAS memberitahu� The Star bahawa terdapat beberapa prosedur keselamatan untuk anak-anak kapal dan kokpit pesawat.
Menurutnya, terdapat satu peraturan di mana juruterbang dan pembantunya akan diberikan set hidangan makanan berbeza, yang bertujuan menggelakkan sebarang kemungkinan kedua-dua mengalami keracunan makanan pada masa yang sama.
“Selepas ini anak kapal perlu membuat semakan terhadap semua bahagian di dalam kokpit, kabin , kawasan rehat anak-anak kapal, dapur dan tandas untuk mengesan sebarang objek asing sebelum pesawat dinaiki penumpang.
“Pramugara dan pramugari juga perlu memantau pelancong yang berkelakuan mencurigakan atau penumpang yang mengambil bagasi masuk ke dalam tandas,” kata juruterbang itu yang enggan dikenali.
MAHB mengingatkan semua pelancong yang berlepas dari KLIA untuk penerbangan destinasi antarabangsa bahawa mereka perlu membuat pemeriksaan di dalam tempoh tiga jam yang ditetapkan.
“Ia supaya mereka akan mendapat masa yang mencukupi untuk pemeriksaan imigresen dan keselamatan. Pemeriksaan ketat adalah untuk keselamatan pesawat, penumpang dan anak kapal, dan semua orang perlu memberi kerjasama sepenuhnya,” kata jurucakap itu.

no image
  • Title : MH17:Bawa Mayat Istimewa Dalam Pesawat Paling Sukar
  • Posted by :
  • Date : 17:11
  • Labels :
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top