KELUARGA ini tidak sabar untuk bersatu semula selepas Ameng dibebaskan kelak.
Sudah empat tahun Ameng di Penjara Kluang, Johor. Penyanyi kumpulan Spring ini dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan akibat kesalahan dadah.
Dalam pertemuan dengan wakil media sebelum ini, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 46, tabah menjalani kehidupan di penjara akibat kesalahan sendiri.
Ketika ditemu bual sebelum ini, Ameng mengakui sedang mengubah dirinya kembali menjadi ‘manusia’. Dahulunya dia pernah alpa dengan kemewahan dan nikmat dunia.
Sepanjang bulan puasa, dia menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan ini sesuatu yang menggembirakan dirinya.
Di sebalik apa yang berlaku, ada seorang srikandi yang setia pada penyanyi lagu Sampai Hati dan Bourgenvilla ini. Insan yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah isterinya, Sabariah Zakaria, 44.
Biar apapun kata-kata cemuhan yang dilemparkan, kasih sayang Sabariah terhadap Ameng tidak pernah pudar.
Setiap kali dibenarkan melawat, dia tidak pernah terlepas membawa anak mereka, Wan Amar Haikal, 7, untuk bertemu Ameng. Biarpun kesetiaannya sering diuji, kasih sayangnya kekal utuh pada Ameng dan harapannya tidak pernah pudar untuk kembali bersama-sama suami yang dijangka akan dibebaskan pada Jun 2016.
Berkongsi cerita terbaru, Sabariah atau mesra dengan panggilan Baya berkata, seperti mana tahun sebelumnya, Ameng menghabiskan masa sepanjang Ramadan dengan membaca dan menghafaz al-Quran.
“Ameng pernah beritahu yang dia berhasrat untuk khatam al-Quran dan rasanya impian itu sudah tercapai. Dia juga dilantik sebagai bilal di Penjara Kluang. Ketika berjumpanya sebelum ini, dia kata selepas bebas nanti nak buka kelas mengaji.
“Sekarang sekiranya ada lawatan sekolah atau institusi tertentu ke Penjara Kluang, Ameng yang kena ke depan untuk bercakap dan berkongsi pengalaman dia. Semua orang dengar dengan penuh minat dan langsung tak pandang serong terhadapnya,” katanya.
Baya berkata, Ameng juga terpilih mewakili Penjara Kluang untuk pertandingan tilawah, tetapi dia kurang pasti suaminya menduduki tempat ke berapa.
“Untuk Aidilfitri kali ini, saya dan keluarga boleh melawat Ameng pada raya keempat. Memang satu kegembiraan yang tak ternilai buat kami apabila dapat bertemu. Ameng juga merindui Haikal yang semakin membesar,” katanya yang tidak menyerah kalah terhadap godaan yang bertujuan menggugat perasaan kasih sayangnya terhadap Ameng.
Dalam pada itu, mungkin ada segelintir peminat memandang serong terhadap Ameng dan sudah lupa padanya.
Bagaimanapun, jasanya dalam industri muzik dan kebaikannya tidak pernah dilupakan rakan artis dan mereka yang mengenalinya.
Setiap kali ada perjumpaan, Ameng tidak sunyi dilawati rakan artis antaranya Nizam Laksamana, Afee U-Topia, Blank Gamma dan ramai lagi.
Malah, Ameng juga pernah menerima lawatan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Freddie Fernandez yang turut disertai beberapa artis lain seperti Zamani Salam, Umarul Iklim, Rahmat Mega dan Ibnor Riza.
Dengan status sebagai selebriti, dia mudah diterima ramai dan diberi kepercayaan mengetuai program keagamaan anjuran Jabatan Penjara Malaysia.
Antara kejayaan Ameng dan kumpulan nasyidnya Voices Of Prison ialah merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Nasyid Keenam Peringkat Penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2012 yang berlangsung di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
0 comments:
Post a Comment