/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Wednesday, 20 August 2014

Benarkah Ziarah Masjid Al-Aqsa Menguntungkan Israel?


1) Bagaimanakah caranya rakyat Malaysia menziarahi Masjid al-Aqsa?

Secara rasminya, Malaysia tidak mempunyai apa-apa hubungan diplomatik dengan Israel, bermakna secara asalnya, warganegara Malaysia tidak boleh pergi ke Israel.

Perlu juga diketahui bahawa Masjid al-Aqsa dikuasai oleh pihak berkuasa Israel dan sempadan masuk juga dikawal oleh pihak Israel.

Namun kebelakangan ini, semakin banyak agensi pelancongan Malaysia menawarkan ziarah ke al-Aqsa bersama pakej umrah.

Mereka yang memasuki Palestin perlu membayar visa kepada pihak berkuasa Israel dan visa akan dicop di atas dokumen khas.

2) Apakah masalah yang timbul bila melakukan ziarah?

Seperti yang kita maklum, satu hakikat yang pahit adalah Palestin dijajah oleh Israel.

Maka adalah satu kewajipan bagi umat Islam untuk membebaskannya. Bila mana kita mendapat visa melawat dari pihak berkuasa Israel dan membayar visa tersebut, secara rasmi bermaksud kita mengiktiraf penguasaan Israel ke atas tanah Palestin.

Menurut kementerian luar Israel, perolehan negara dari industri pelancongan meningkat dari tahun ke tahun. Memperoleh visa bukan sekadar mengiktiraf penguasaan Israel, malah nampaknya turut menguntungkan mereka dari sudut ekonomi.

3) Adakah terdapat ilmuan Islam yang melarang umat Islam menziarahi Palestin?

Ya, sudah tentu, malah ramai di kalangan mereka berpendapat sebegitu. Antaranya Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi (Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia), Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qurahdaghi (Timbalan Pengerusi), Sheikh Raed Salah (ilmuan dan tokoh pejuang Palestin), Jabatan Fatwa Universiti Islam Gaza dan ramai lagi.

4) Tidakkah mereka yang melakukan ziarah sebenarnya membantu ekonomi orang Islam di Palestin dan menderma untuk pembangunan Masjid al-Aqsa?

Untuk membantu masyarakat Palestin, kita boleh menyalurkan derma kepada banyak badan-badan bukan kerajaan yang wujud di Malaysia tanpa perlu pergi melancong ke Palestin apatah lagi membayar visa kepada Israel.

Dalam satu pungutan suara yang dilakukan oleh saluran tv Al-Jazeera, sebanyak 63 peratus responden mengatakan bahawasanya ziarah al-Aqsa hanya memberikan keuntungan kepada Israel dan tidak memberi kebaikan kepada orang-orang Palestin.

5) Bukankah Nabi Muhammad S.A.W. dan umat Islam melakukan umrah di Makkah bawah pemerintahan kafir Quraisy?

Pertama sekali, ramai di kalangan umat Islam ketika itu adalah penduduk asal Makkah dan mempunyai keluarga di Makkah.

Adakah orang Malaysia yang melakukan ziarah ke Palestin hari ini merupakan penduduk asal Palestin dan mempunyai keluarga di Palestin?

Kedua, tindakan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W. ketika itu telah menampakkan lagi kekuatan umat Islam dan ketika itu juga, kaum kafir Quraisy sudah semakin lemah. Adakah dengan ziarah umat Islam hari ini ke Masjid al-Aqsa melemahkan lagi Israel atau menguatkannya?

Hari demi hari, pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat semakin berleluasa, keganasan tentera Israel juga makin menjadi-jadi. Ziarah ke al-Aqsa tidak pun memberi kesan positif kepada umat Islam di Palestin.

6) Bukankah menziarahi al-Aqsa merupakan satu amalan yang memperoleh ganjaran yang besar di sisi Islam?

Dalam ilmu Fiqh, ada satu kaedah yang menyebut bahawa menghilangkan kerosakan lebih patut didahulukan daripada memelihara kebaikan. Menziarahi al-Aqsa pada asalnya bukanlah perkara yang wajib, tapi merupakan amalan yang sunat.

Namun, memberi pengiktirafan dan memberi wang kepada Israel melalui bayaran visa merupakan satu kemudaratan kepada Palestin. Maka sepatutnya menghindari diri dari menziarahi Palestin ketika ini adalah lebih utama.

7) Bila boleh menziarahi Palestin?

Simpanlah cita-cita untuk menziarahi Palestin ketika mana ia telah dibebaskan dari penjajahan Israel. Menjadi tanggungjawab kita juga untuk bersama-sama memperjuangkan pembebasan Palestin.

8) Tidakkah tindakan melarang masyarakat menziarahi al-Aqsa ini hanya akan menjadikan al-Aqsa terpulau dan memburukkan lagi keadaan masjid tersebut?

Masjid al-Aqsa sememangnya sudah teruk keadaannya sejak awal penjajahan Israel. Menziarahinya pula tidak mampu menjadikannya bebas.

Umat Islam di Palestin sendiri menghadapi sekatan demi sekatan saban hari di jalanan, di rumah dan juga di masjid. Penduduk Palestin sendiri seringkali menghadapi kekasaran di Masjid al-Aqsa dan dihalang dari menziarahinya.

Tidakkah menjadi tanda tanya kepada kita bagaimana umat Islam dari luar dengan mudah boleh menziarahi al-Aqsa?

Jika kita hanya fikir tentang mudahnya kita beribadat di Masjid al-Aqsa tanpa ada halangan, maka nanti timbul pula persoalan di benak hati kita, maka apa perlunya kita hapuskan Israel kalau mereka tetap memberi ruang untuk kita beribadat di Masjid al-Aqsa? Ini adalah secara tidak langsung meracuni pemikiran umat Islam yang menziarahi al-Aqsa.

9) Apakah nasihat terakhir tentang isu ini?

Jika tidak mahu meneliti hujah dan dalil yang dikeluarkan, sekurang-kurangnya jadilah manusia yang sensitif untuk kepentingan saudaranya sendiri. Bayangkan jika situasi yang sama berlaku kepada kita.

Kampung kita dijajah, ibu ayah kita dibunuh, rumah kita diroboh, tiba-tiba ada sekelompok manusia yang datang dengan membayar pas lawatan kepada penjajah dan mahu menziarahi masjid kampung kita. Apakah agaknya perasaan kita?
Benarkah Ziarah Masjid Al-Aqsa Menguntungkan Israel?
  • Title : Benarkah Ziarah Masjid Al-Aqsa Menguntungkan Israel?
  • Posted by :
  • Date : 17:06
  • Labels :
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top