/*delete ----------------------------------------------- */ /*delete ----------------------------------------------- */

Latest News

Thursday, 18 April 2013

Noniswara Tarik Balik Permohonan Cerai

Noniswara menarik balik permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Datuk Rosman Ridzwan dan akan mempertimbangkan untuk memohon cerai secara fasakh atau taklik.
 

KUALA LUMPUR: Pelakon Noniswara menarik balik permohonan cerai secara baik dengan kebenaran mahkamah terhadap suaminya, Datuk Rosman Ridzwan pada sebutan kes pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.

Nonis atau nama sebenarnya, Monis Wara Baharudin, 43, mengambil tindakan itu selepas masih gagal menyerahkan surat saman permohonan cerai yang difailkan sebelum ini terhadap suaminya.

Hakim Syarie, Muhammad Jimmy Muhammad Azlin membenarkan permohonan Nonis sebagai plaintif.

Muhammad Jimmy juga tidak mempunyai halangan sekiranya plaintif ingin mengemukakan permohonan lain dengan kebenaran undang-undang syariah jika ingin berbuat demikian.

Kes pasangan itu sebelum ini dibicarakan di bawah Seksyen 47, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Baik).

Peguamnya, Datuk Amli Embong ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya akan berbincang dengan plaintif tindakan selanjutnya sama ada untuk memohon penceraian secara fasakh atau pun taklik.

"Tidak menjadi masalah untuk plaintif membuat permohonan lain selepas ini dan perkara itu akan kami bincangkan.

"Buat masa ini menarik balik kes itu adalah yang terbaik kerana pihak plaintif gagal untuk menyerahkan surat saman kepada defendan (Rosman) yang tidak dapat dihubungi dan mengelak daripada hadir ke perbicaraan kes.

"Insya-Allah kita akan failkan semula kes ini dalam masa terdekat," jelasnya.

Sementara itu, Nonis ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia sudah cuba sedaya upaya untuk menyerahkan surat saman kepada suaminya dan menyelesaikan masalah di antara mereka secara baik namun gagal.

"Suami ada memberitahu saya dia ke luar negara tetapi saya merasakan dia tidak bercakap benar. Malah panggilan telefon dan SMS berkaitan kes kami tidak berjawab dan saya pelik dengan tindakannya," kata Nonis.

Nonis turut memberitahu dia seboleh-bolehnya tidak mahu kemelut rumah tangganya dengan suami dibongkar di mahkamah sekiranya mengambil langkah memfailkan permohonan cerai secara fasakh atau pun taklik.

"Sebab itu saya mahu perpisahan ini berakhir dengan baik dan bukannya saling menyalahkan antara satu sama lain tetapi dia tidak mahu memberi kerjasama walaupun pada awalnya dia sendiri yang minta saya failkan penceraian," jelasnya.

Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.

Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Noniswara Tarik Balik Permohonan Cerai
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Top