Tahniah!! Impian Ogy Ahmad Daud Terlaksana
Tidak pernah membuka gerai makanan namun pengalaman berniaga burger dan pelbagai jenis sup ketika Ramadan menguatkan semangat pelakon Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy untuk mengusahakan perniagaan restoran Ogy D’Greenwood yang terletak di Kampung Simpang Tiga, Greenwood, Gombak yang mula beroperasi sejak penghujung Disember lalu.
Meskipun sedar risiko besar sentiasa menanti, Ogy sudah mempersiapkan diri sejak awal dengan menyertai pelbagai seminar keusahawanan bagi mengetahui selok-belok perniagaan apatah lagi yang membabitkan makanan.
Menurutnya, walaupun makanan adalah keperluan yang akan sentiasa dicari orang ramai, dia perlu memastikan kualiti makanan terjaga demi memastikan pelanggan berpuas hati dengan masakan yang dihidangkan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur hasrat membuka restoran yang sudah lama diimpikan sudah terlaksana dan kini tugas saya untuk memastikan perjalanan restoran berlangsung dengan sempurna dan biarlah ia menjadi perniagaan jangka panjang untuk saya.
“Rakan kongsi juga banyak memberi kerjasama dalam memastikan kelancaran restoran ini. Saya dan rakan kongsi juga sepakat menggunakan nama saya sebagai salah satu pendekatan promosi dan bukan sekadar nama kadang-kala saya juga akan turun padang mengambil pesanan pelanggan.
“Pastinya perkara ini harus dilakukan demi memastikan pelanggan puas hati dengan apa yang disajikan walaupun ada segelintir yang memberi komen negatif, saya ambil perkara ini sebagai semangat untuk diperbaiki dan saya akan berbincang dengan rakan kongsi bagi mencari jalan penyelesaian mengenai masalah yang dibangkitkan,” katanya.
Tidak berhasrat meninggalkan bidang lakonan, Ogy mengakui hampir separuh hidupnya kini dihabiskan di restoran berkenaan.
Ini kerana, niatnya bukan sekadar menyajikan makanan kepada pelanggan, sebaliknya restoran itu akan dijadikan restoran serba guna dengan kemudahan seperti surau, studio dan kelas keusahawanan.
“Apa yang saya lakukan sebagai jaminan masa depan selain minat yang sudah lama dipendam, bukan itu saja restoran ini turut menyediakan pelbagai aktiviti yang mula berlangsung setiap Sabtu dan Ahad sejak 9 Mac lalu.
“Seperti yang tertera di kain rentang, Ogy D’Greenwood bukan sekadar restoran sebaliknya turut menyediakan katering untuk majlis hari lahir, kenduri kesyukuran, perkahwinan dan pertunangan yang mana ruangan di restoran ini mampu memuatkan lebih 200 orang.
“Bukan itu saja, saya juga sedang mempersiapkan bilik di bahagian atas sebagai ruang untuk mengadakan kelas akademi di mana kami akan memberi tunjuk ajar kepada wanita yang berminat untuk belajar kelas penyediaan makanan dan minuman, pastri dan bakeri serta bengkel keusahawanan,” katanya.
Ogy berkata, sebuah gudang besar terletak di belakang restoran berkenaan akan dijadikan studio untuk mana-mana produksi menjalani rakaman. Dalam masa yang sama mereka juga boleh menjamu selera di restorannya.
Restoran yang mula dibuka mulai jam 8 pagi hingga 12 tengah malam itu menyajikan menu popular, antaranya nasi Arab, mi udang, rojak Singapura, nasi lemak daun kunyit dan nasi ayam Ali Setan selain pelbagai jenis masakan Barat.
Mengakui jiwa seni yang sentiasa mengalir dalam diri, Ogy berharap hasratnya menjemput artis lain atau pelajar dari mana-mana pengajian untuk tampil membuat persembahan pada setiap hari Sabtu dan Ahad akan terlaksana.
“Saya mempunyai perancangan di mana pada setiap hujung minggu akan ada aktiviti dijayakan oleh mana-mana penggiat seni untuk menghiburkan pengunjung. Ini juga sebagai tarikan promosi kepada orang ramai bahawa restoran saya bukan hanya menyajikan makanan semata-mata malah kami menyediakan hiburan kepada orang ramai.
“Saya juga mengalu-alukan peniaga barangan kering untuk berniaga di restoran berkenaan pada hujung minggu dengan berniaga di gerai yang disediakan.
“Saya tidak mahu restoran hanya menumpukan pada makanan semata-mata, justeru banyak perancangan sudah diatur dan insya-Allah jika tiada halangan, sepanjang Ramadan nanti juga akan diadakan solat Terawih. Bagi aktiviti setiap Ahad saya harap dapat diwujudkan kelas usrah dan solat sunat berjemaah,” katanya.
Oleh Syanty Octavia Amry
- Title : Tahniah!! Impian Ogy Ahmad Daud Terlaksana
- Posted by :
- Date : 19:30
- Labels : Artis Bisnes, Artis Malaysia, Ogy Ahmad Daud
0 comments:
Post a Comment