Salih Yaacob (kanan) akan bersara selepas kontraknya bersama Sinar FM tamat sekitar hujung tahun ini.
SALIH YAACOB memang terkenal sebagai seorang pelawak, biarpun hakikatnya dia juga merupakan seorang penyanyi, pelakon dan deejay radio di Sinar FM.
Tidak pernah dilanda kontroversi, kecuali isu dia berkahwin empat, Salih, 52, baru-baru ini telah menerima tempias sensasi yang wujud kesan daripada pembabitannya dalam video berjudul Bangkang Dari Longkang yang dimuat naik di laman YouTube baru-baru ini.
Video yang merupakan seakan-akan lakonan semula berkaitan parti pembangkang bersama Nabil itu telah membuat ramai peminat dan penyokong parti pembangkang menghentam Salih di laman Facebook.
Mengakui kecewa dengan video tersebut, Salih mengatakan ia merupakan salah satu sebab mengapa dia ingin mengambil keputusan untuk bersara. Namun, ia bukanlah punca utama Salih ingin meninggalkan bidang yang diceburinya sejak 33 tahun lalu.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Salih yang ditemui pada majlis perasmian Hot Perfumes and Air Freshners yang bertempat di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh komen tentang isu persaraan Salih daripada dunia seni pada tahun ini?
Salih: Saya sebenarnya sudah letih bekerja dalam bidang seni sejak terbabit pada tahun 1980 lagi. Menjadi seorang penyampai radio juga sudah cukup membuatkan saya letih untuk duduk sepanjang hari. Sebenarnya, saya sasarkan sebelum ini, umur 50 tahun untuk berhenti dari dunia seni. Ini kerana, pada umur begini, sepatutnya saya perlu luangkan banyak masa dengan anak-anak dan keluarga, memandangkan keluarga saya kini lebih besar. Bagaimanapun, kini sudah berumur 52 tahun, jadi maknanya sasaran yang dibuat sudah terlebih. Kini di Malaysia, umur seperti saya sudah tidak boleh cerewet untuk meminta bayaran dan seumpamanya.
Jadi bilakah anda ingin berhenti dan apa perancangan selepas berhenti jadi artis untuk menyara keluarga kelak?
Saya sasarkan hujung tahun ini selepas tamat kontrak bersama Sinar FM, saya akan bersara. Saya juga mempunyai perancangan menjalankan bisnes yang melibatkan aset dan saya lihat ia mendatangkan untung yang berbaloi. Saya juga bakal dibantu oleh rakan-rakan yang lain yang arif dalam bidang tersebut. Selain itu, saya juga ingin meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga kerana selama ini saya banyak terlepas momen dengan mereka dan apabila saya sedar, anak-anak semua sudah besar. Saya juga merancang untuk melancong bersama mereka.
Jarang artis menetapkan tarikh bersara seperti anda. Tidakkah anda sedih akan meninggalkan dunia seni yang telah banyak memberi kenangan kepada anda?
Saya minat bidang ini, tapi jika melihatkan zaman sekarang, penjualan album sangat sukar. Saya sebagai penyampai radio, takkan pula saya mahu mempromosikan album dan single saya pula. Kemudian, saya memang menolak tawaran berlakon kerana harga yang ditawarkan tidak menepati dengan alasan tiada bajet.
Jadi bagaimanakah dengan dakwaan yang mengatakan anda ingin berhenti kerana isu video tersebut?
Memang betul saya kecewa dengan industri dan ingin beralih bidang. Video itu juga merupakan salah satu sebab yang menguatkan keputusan saya untuk bersara. Ada hikmah berlakunya perkara tersebut dan saya rasa mungkin sudah benar-benar masanya untuk bersara. Sebenarnya video tersebut telah dihasilkan pada tahun lalu, namun ia disiarkan semula pada tahun ini dan ia menjadi satu isu.
Menyesal atau tidak berlakon seumpama itu sehingga dihentam oleh peminat?
Memang menyesal kerana selama ini saya buat hiburan yang sering menarik hati peminat. Tapi ini hiburan yang menyakitkan hati dan rasa seperti melakukan dosa. Pada mulanya, saya tidak perasan, tapi lama-lama saya baru sedar dengan lambang-lambang yang diletakkan dalam video tersebut. Itu sebenarnya yang merosakkan keadaan. Saya memang tidak pernah melibatkan diri dalam politik kerana saya bukan ahli politik, saya insan seni.
Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
Salih Yaacob Bersara Kerana Sudah Letih Bekerja Dalam Bidang Seni
- Title : Salih Yaacob Bersara Kerana Sudah Letih Bekerja Dalam Bidang Seni
- Posted by :
- Date : 10:22
- Labels : Artis Malaysia, Salih Yaacob
0 comments:
Post a Comment