Faizal Hussien menjulang trofi kemenangan bagi kategori, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25)
Jika kebanyakan artis memilih untuk lebih selektif setelah berjaya menggenggam trofi di anugerah berprestij, namun tidak bagi pelakon hebat, Faizal Hussein.
Walaupun berjaya menjulang trofi kemenangan bagi kategori, Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25), namun anak kepada pasangan pelakon popular, Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ini enggan mendabik dada.
Malah, Faizal, 45, mengakui, dia tidak akan menolak sebarang tawaran yang diberikan selepas ini sekiranya tidak bercanggah dengan jadual yang sedia ada.
"Buat pengetahuan anda, sebelum ini saya pernah bekerja dengan pengarah dan produksi yang teruk. Namun, saya ambil pendekatan positif dengan memberi sepenuh komitmen terhadap kerja lakonan saya.
"Tidak kira karya itu kecil atau besar, buruk atau atau bagus, jika pelakonnya berjaya menjadikan ia sebagai karya yang bagus, penonton tetap akan suka.
"Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk memilih tawaran baik drama mahupun filem. Apa yang penting, saya mahu memecah dominasi yang watak utama bukan hanya untuk pelakon muda," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.
Kembali meraih kepercayaan
Kemenangannya di FFM25, baru-baru ini benar-benar membuka mata pihak produksi dan pengarah tempatan.
Mengakui banyak menerima tawaran watak berat yang mencabar dan pelakon utama, Faizal berkata, bakatnya mula berjaya meraih kepercayaan industri.
"Ramai yang menganggap, pelakon yang sudah berusia sukar mendapatkan peluang lakonan sebagai watak utama.
"Namun, saya berterima kasih kepada pengarah filem, Bunohan, Dain Iskandar Said, apabila percaturannya ternyata membuka mata banyak pihak.
"Walaupun pada saat-saat akhir, watak saya bakal ditukarkan kepada orang lain, namun Dain tetap mempertahankan saya," katanya yang bakal muncul menerusi filem arahan, Hashim Rejab, Longkai.
20 tahun tidak dicalonkan
Mengakui anugerah tersebut adalah pengiktirafan pertama buatnya di FFFM sepanjang tempoh 30 tahun menapak dalam industri lakonan, Faizal pernah dicalonkan pada tahun 1993, menerusi filem, Kanta Serigala.
Faizal turut berseloroh, kemenangannya pada malam itu hanyalah kerana ketiadaan pencalonan daripada pelakon hebat yang juga sifunya, Eman Manan.
"Kalau Abang Eman ada, tentu saya kalah malam ini," katanya sambil ketawa.
Menurut Faizal, setelah hampir 20 tahun, barulah namanya kembali dicalonkan menerusi Bunohan.
"Walaupun Abang Eman tak ada, namun saya tidak mengharapkan kemenangan.
"Sejak awal lagi, saya sudah pasang niat, kehadiran saya pada malam itu hanyalah untuk bergembira bersama isteri dan anak-anak.
"Namun, saya meletakkan harapan tinggi buat Bunohan kerana ia adalah filem yang bagus dan paling berat yang pernah saya lakonkan," katanya yang terpaksa gelapkan badan dan dijemur tengah panas terik untuk menjayakan watak Ilham.
0 comments:
Post a Comment